‘Ramai minta bantuan, tak kisahlah duit itu pergi mana’

AKTIF dalam aplikasi Threads, pelakon Kamal Adli mengakui kerap menerima mesej orang ramai yang berdepan masalah kewangan.

Meskipun menyedari ada kemungkinan segelintir pihak mengambil kesempatan, pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, memilih untuk bersangka baik dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuannya.

“Ramai minta bantuan. Baru saya tahu rupa-rupanya ramai sedang berdepan dengan masalah kewangan.

“Ada yang minta pinjam dan minta infak. Yang mana boleh saya tolong, saya tolong tapi tidaklah menunjuk.

Mereka juga tidaklah sampai melampaui batas (meminta bantuan). Cuma ada yang saya terlalu kasihan, ada yang hantar gambar keluarga dan minta hanya RM50 sahaja untuk beli susu.

“Yang bagi kod QR pun saya beri sahaja, tak kisahlah duit itu pergi dekat mana asalkan niat kita betul,” katanya semasa sidang media Melodi Terhangat, baru-baru ini.

Bukan sekadar memohon bantuan, pelakon drama Setelah Lafaznya Akad itu turut dihujani pelbagai mesej mencuit hati daripada pengikutnya.

“Macam-macam orang dekat situ, ada yang ajak kahwin dan nak hantar rombongan meminang.

“Yang nak kenalkan adik mereka dekat saya pun ada. Tapi saya faham mungkin mereka bergurau sahaja,” katanya lagi.

Meskipun sekadar berinteraksi santai, Kamal bersyukur kerana keaktifannya dalam Threads membawa impak positif terhadap kerjayanya.

Sebenarnya dari situ membuka pintu rezeki buat saya. Contohnya, ada beberapa jenama yang mahu bekerjasama, alhamdulillah.

“Tapi tetap perlu menjaga penulisan kita, jangan menghina orang,” ujarnya.

Sebelum ini, Kamal mendedahkan Threads menjadi medium utamanya untuk mengisi masa lapang dan berinteraksi dengan peminat.

Keaktifannya dalam platform tersebut sehingga diberi gelaran Raja Threads atau Ketua. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok