LEBIH dua dekad dalam dunia hiburan, pelakon Lana Nodin berusaha keluar dari kepompong watak antagonis dan penyondol demi membuktikan kemampuan sebenar.
Akui pemilik nama lengkap, Mazlina Hassan Nodin, 46, itu, dia kini tidak lagi ghairah mengejar populariti, sebaliknya lebih mengutamakan rezeki, keluarga dan peluang mengasah kemampuan menerusi watak lebih mencabar.
Katanya, fasa kerjaya sekarang bukan lagi tentang seberapa kerap wajah muncul di kaca televisyen atau betapa kuat nama meniti di bibir peminat, namun sejauh mana dia mampu menghidupkan karakter yang meninggalkan kesan.
Bagi Lana, watak berat bukan sekadar menuntut pelakon menghafal dialog atau mengikut arahan pengarah, bahkan memerlukan penghayatan emosi yang mendalam agar penderitaan watak dapat dirasai khalayak.
“Saya tidak kisah kalau dilupakan kerana dalam fasa ini, saya bukan lagi kejar populariti tetapi kumpul rezeki. Saya berlakon kerana minat. Kalau ada tawaran dan watak itu sesuai, saya takkan sia-siakan.
“Pengalaman membawakan watak pesakit HIV dalam sebuah naskhah drama baru-baru ini juga menjadi antara peluang yang membuka ruang memperlihatkan kemampuan sebenar saya.
“Saya memang mengintai watak sebegitu.
“Sudah 20 tahun saya berlakon, kalau boleh sekarang ini berilah saya watak yang berlainan,” katanya ketika ditemui pada acara Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.

PENGALAMAN membawakan watak pesakit HIV dalam sebuah naskhah drama menjadi antara peluang yang membuka ruang memperlihatkan kemampuan sebenar.
Di sebalik keinginan untuk terus mengembangkan kemampuan dalam arena lakonan, Lana sedar kehidupan tidak lagi berputar sepenuhnya tentang kerjaya seperti ketika mula-mula menapak dalam industri seni.
Kini masa serta tenaganya turut dituntut tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, lebih-lebih lagi apabila keluarganya sedang melalui perubahan rutin harian.
Katanya, barangkali disebabkan semakin jarang muncul mencetuskan tanda tanya peminat sehingga ada yang menyangka dia bersara awal.
“Saya tidak terus keluar daripada dunia lakonan. Ada sahaja tawaran yang saya terima, malah beberapa drama juga sedang dipertimbangkan.
“Tetapi, saya tidak boleh terlalu aktif. Bukan enggan bekerja, tetapi saya perlu memilih tawaran yang sesuai dengan masa dan watak yang kena dengan penampilan bertudung,” ujarnya.
Balik ‘kampung’ AS
Keadaan itu juga berbeza berbanding sebelum ini apabila suaminya, Mohd. Daud McKienzie mempunyai lebih banyak masa di rumah untuk menjaga dua permata hati mereka ketika dia menjalani penggambaran.
Bagaimanapun, selepas teman hidupnya itu dilantik sebagai Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia, jadual keluarga turut berubah apabila lelaki terbabit semakin sibuk dengan tanggungjawab baharu.

LANA dan suami kini merancang membawa anak-anak pulang ke Amerika Syarikat untuk menziarahi mentuanya.
“Saya lebih banyak menghabiskan waktu dengan keluarga dan sekarang menguruskan perpindahan ke rumah baharu.
“Selebihnya menguruskan anak-anak sekolah terutama jika tiada kerja penggambaran atau perkara lain membabitkan kerja.
“Suami sedikit sibuk selepas dilantik menjadi Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia. Sebelum ini dia banyak masa di rumah, sementara saya bekerja, namun sekarang keadaan bertukar,” ujarnya.
Kata Lana, mereka juga merancang membawa anak-anak pulang ke Amerika Syarikat (AS) bagi menziarahi mentuanya.
Menurutnya, sudah dua tahun mereka tidak pulang ke ‘kampung’ suami, sekali gus menjadikan kunjungan itu sesuatu yang penting buat dirinya dan keluarga.
“Bapa mentua saya pun sudah berusia 84 tahun, ini peluang untuk kami meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
“Cuma saya dan suami masih menyusun jadual kerana anak-anak sekarang bersekolah selain banyak aktiviti sampingan,” katanya.
Perkahwinannya dengan Daud pada tahun 2015 dikurniakan Gia Quinn McKienzie, 10, dan William McKienzie, tujuh tahun. – HIGBLAM

