“MEREKA kata lagu Cak Cak Cekuk lagu budak tadika, tak layak masuk AJL.
Itu pendedahan finalis Anugerah Juara Lagu ke-40,(AJL40), Wani Kayrie tentang sikap segelintir pihak yang memperlekeh lagu dendanganya.
Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, biarpun Cak Cak Cekuk dilabel sebagai budak tadika, dia tetap bersyukur kerana lagu tersebut berjaya menempatkannya di pentas AJL40 buat pertama kali selepas sedekad bergelar penyanyi.
“Pada mulanya saya tertanya-tanya kenapa mereka beranggapan seperti itu. Tidak dapat dinafikan lagu ini digemari kanak-kanak.
Sebenarnya saya bersyukur lagu ini digemari budak-budak. Bukan senang kita nak capai sasaran pendengar tertentu.
“Bila budak-budak suka, mereka sendiri yang viralkan lagu itu,” katanya ketika ditemui di sidang media AJL40 Pandangan Pertama, semalam.
Tambahnya lagi, biarpun Cak Cak Cekuk dilabel sebagai lagu budak-budak, susunan muzik lagu ciptaan Karim Karam itu sangat besar.
Untuk AJL sendiri saya tak sabar nak menantikan sususan muzik lagu ini dan tak sabar nak bagi semua orang dengar,” jelasnya.
Ditanya tentang persiapan menjelang AJL40 yang akan berlangsung dalam masa sebulan sahaja lagi, kata Wani setakat ini sudah 50 peratus persiapan dilakukan.
“Alhamdulillah sudah separuh jalan. Semuanya berjalan dengan lancar. Tinggal nak tunggu perbincangan terakhir dengan pihak produksi.
“Kalau nak cakap pasal tekanan lebih kepada harapan peminat untuk lihat lagu ini berada di kedudukan teratas.
Tetapi saya ambil perkara ini sebagai pembakar semangat untuk berikan yang terbaik memandangkan ini kali pertama saya bakal beraksi di pentas AJL dan satu-satunya lagu bergenre etnik kreatif,” katanya.
AJL40 bakal berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026 pukul 9 malam. Acara berprestij itu juga akan disiarkan secara langsung di TV3 dan platform penstriman Tonton. – HIBGLAM
