Konsert Revolusi Radja 25 Tahun tunda ke 19 September

KONSERT Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadual berlangsung pada 11 Julai ini di Stadium Hoki Bukit Jalil ditunda ke tarikh baharu iaitu 19 September 2026.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan pihak penganjur, DHYAH Production dan Infinity Love Creative Ventures, penundaan tarikh konsert dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya adalah lambakan acara hiburan dan konsert berskala besar yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh yang sama selain Pilihan Raya Negeri yang turut berlangsung ketika itu.

Menurut wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, syarikat mereka sentiasa mengutamakan keselesaan serta pengalaman terbaik buat para peminat.

“Keputusan ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan sambutan ulang tahun ke-25 perjalanan muzik Radja dapat diraikan dalam suasana yang lebih kondusif.

“Setelah memeniliti pelbagai aspek, kami percaya tarikh baharu ini memberi ruang yang lebih baik kepada peminat untuk hadir dan menikmati persembahan istimewa daripada Radja.

Kami amat menghargai kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan daripada semua peminat. Komitmen kami adalah untuk memastikan Revolusi Radja 25 Tahun hadir sebagai sebuah pengalaman konsert yang penuh tenaga, nostalgia dan kenangan yang bermakna,” katanya.

Bagi menambah kemeriahan sambutan 25 Tahun perjalanan muzik Radja, konsert ini turut bakal menampilkan beberapa artis undangan istimewa yang akan berkongsi pentas bersama Radja.

Semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah digunakan untuk tarikh baharu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok