‘Penat, pusing-pusing saya juga yang akan dipersalahkan’

USAHAWAN Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red menegaskan tindakannya untuk menarik kes tuntutan pengesahan lafaz rujuk terhadap bekas isteri yang juga penyanyi Adira Suhaimi adalah disebabkan mahu segera menamatkan kemelut antara mereka.

Menurut Datuk Red, 46, dia sudah berasa penat untuk melalui prosiding mahkamah dan berdepan tohmahan khalayak terhadap dirinya.

“Kalau ikutkan tadi, memang saya nak tamatkan sahaja semua ini sebab sudah penat.

“Nanti pusing-pusing, saya juga yang akan dipersalahkan.

“Saya tak mahu memanjangkan isu ini dan nak tamatkan,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Sementara itu, Adira, 35, pula berkata, tindakan bekas suami yang memfailkan penarikan semula kes tidak memberi sebarang impak besar terhadap dirinya sebaliknya hanya mengikuti setiap prosiding ditetapkan mahkamah.

“Sebenarnya saya bersedia dengan apa saja keputusan dari mahkamah memandangkan kes ini sudah separuh jalan.

“Saya okay saja kerana tak ada apa yang berubah. Kalau hari ini tak selesai lagi, saya masih boleh bekerja macam biasa.

“Saya boleh jaga anak-anak macam biasa jadi Alhamdulillah, tak ada masalah pun,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Bara menolak permohonan penarikan kes tuntutan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan Datuk Red terhadap Adira pada Disember tahun lalu.

Perkara tersebut diputuskan Hakim Nurul Hidayah Jani pada prosiding yang berlangsung hari ini selain menangguh kes pada 9 Julai depan.

Sebelum ini, Datuk Red melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian, namun Adira dilaporkan tidak mengesahkan perkara tersebut.

Adira juga sebelum ini meluahkan rasa terkilan dengan tindakan bekas suaminya yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.

Dia turut mendedahkan usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.

Datuk Red pula bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu.

Datuk Red turut hadir ke program Talk To My Manager 2 dua minggu lalu untuk memberi sokongan terhadap anaknya, Anggrek selain ingin memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku di mahkamah semasa prosiding pengesahan rujuk mereka baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok