‘Maaf kecewakan papa, saya dah mula beli tudung’

AKUR dengan teguran bapanya, Ameng Spring tentang aurat, peserta Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Azeva mengakui sedang mencuba sedaya upaya menjaga penampilan.

Menurut Azeva atau nama lengkapnya Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, dia kini sudah mula membeli tudung.

“Saya cuma nak cakap kat papa maaf kerana kecewakan papa. Saya sangat bersyukur papa tegur aurat saya. Saya pun sebenarnya tengah mencuba perlahan-lahan untuk menutup aurat.

“Kalau siapa kenal saya yang dulu, lagi seksi. Saya dapat hidayah perlahan-lahan. Saya harapkan doa daripada kalian.

“Saya pun dah mula beli tudung. Kadang-kadang saya akan pakai tudung dan jubah. Baju pun saya pakai lengan panjang,” katanya ketika ditemui di konsert minggu kelapan TTMM2, di sini, semalam.

Tambahnya, dia mula terasa lebih rapat dengan Sang Pencipta ketika ibunya iaitu Datuk A. Aida jatuh sakit sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Saya rasa hidayah itu datang sejak mama masuk ICU. Saya jadi lebih rapat dengan Allah. Saya rasa Allah sentiasa ada dengan saya. Allah sembuhkan mama dan banyak beri rezeki untuk saya.

“Saya harap orang terus mendoakan yang terbaik untuk saya. Mama pun dah pakai tudung,” ujarnya.

Terdahulu Ameng mendedahkan dia sudah berulang kali menegur Azeva tentang menutup aurat, namun semuanya bergantung atas anaknya sendiri.

Pendedahan itu dibuat selepas ada netizen yang memintanya untuk menegur Azeva tentang aurat. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok