HANYA dua hari dilancarkan, lagu Ku Yang Berjuang nyanyian Danial Kifli mencipta fenomena apabila berjaya menembusi carta trending dan tular dalam pelbagai platform media sosial.
Bagaimanapun, di sebalik ledakan populariti tersebut, tersimpan kisah pilu dan penuh emosi daripada komposernya, Jal Arya, yang menjadikan pengalaman hidup sendiri sebagai nadi utama karya berkenaan.
Jal Arya membuka kisah hitam pernah dilalui apabila terlibat dalam kemalangan tragis sehingga menyebabkan dirinya koma dan berada dalam keadaan kritikal.
“Saya koma akibat kemalangan. Doktor beritahu saya tiada harapan untuk hidup. Namun dengan kuasa Allah, saya masih diberi peluang untuk terus bernafas hingga hari ini.
“Apabila saya sedar daripada koma, perkara pertama saya lakukan adalah mencari dia. Tetapi dia sudah tiada.
“Semua media sosial dan nombor telefon saya disekat. Dia hilang begitu sahaja, pergi ketika saya berada di ambang maut,” katanya.
Tanbah Jal, daripada luka itulah lahirnya Ku Yang Berjuang, sebuah karya jujur tentang kejatuhan, kehilangan serta kekuatan untuk bangkit semula walau dihimpit kesakitan.
“Lagu ini lahir daripada apa saya lalui sendiri. Bukan semata-mata melodi, tetapi kisah perjuangan sebenar tentang jatuh dan bangkit.
“Lagu tersebut menggambarkan beban emosi perlu ditanggung apabila diuji antara hidup dan mati, dalam masa sama kehilangan insan paling dipercayai tanpa penjelasan,” ujarnya.
Karya tersebut diperkukuhkan dengan vokal penuh penghayatan Danial Kifli sehingga setiap bait lirik terasa hidup dan dekat di hati pendengar.
Pengalaman getir itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dari sudut fizikal, malah merobek emosi dan mental apabila terpaksa bangkit sendirian tanpa jawapan.
Sejak dilancarkan, lagu berkenaan menerima sambutan luar biasa terutama dalam TikTok apabila ramai pengguna mula mengaitkan lirik dengan perjalanan hidup masing-masing.
Fenomena itu sekali gus melonjakkan Ku Yang Berjuang ke tangga ketiga carta trending hanya dalam tempoh dua hari.
Kini, lagu tersebut boleh distrim di semua platform digital, manakala muzik video rasmi turut tersedia di YouTube, terus mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan pencinta muzik tempatan. – HIBGLAM.
