SELEPAS lebih sedekad menyepi daripada perhatian umum, kumpulan alternatif rock Malaysia, Disagree, kembali dengan barisan ahli tetapnya, Zahid, Hamka dan Taa.
Kali ini, mereka hadir dengan dengan tenaga dan intensiti emosi yang pernah mendefinisikan karya-karya terdahulu tetapi diperkaya dengan penceritaan mendalam dan evolusi muzik lebih matang.
Kemunculan semula ini dimulakan dengan Let’s Do It All Again sebuah single penuh emosi tentang kepulangan, penyesalan dan penghargaan.
Lagu berkenaan mengisahkan perjalanan sebuah kumpulan yang suatu ketika dahulu memiliki segalanya, semangat, hubungan yang kuat dan sokongan peminat. Namun, perlahan-lahan menghilang tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
Pada terasnya, lagu itu merupakan surat permohonan maaf yang ikhlas bagi memperbetulkan keadaan serta satu undangan untuk kembali berhubung.
Karya ini juga bersifat nostalgik namun tetap memandang ke hadapan, mengingatkan bahawa apa yang kelihatan sebagai pengakhiran kadangkala hanyalah jeda dalam perjalanan hidup.
“Kemunculan ini didorong oleh satu niat yang ringkas namun penuh makna, untuk menyempurnakan apa yang pernah tertangguh.
“Lebih sedekad lalu, perjalanan hidup membawa setiap ahli ke haluan berbeza, menjauhkan kami daripada dunia muzik dan meninggalkan rasa rindu yang tidak pernah terlerai,” jelas Zahid mewakili kumpulannya
Tambahnya: “Kami juga merancang kembali mendekati peminat melalui kesinambungan cerita yang dikongsikan menerusi muzik, siri interaksi eksklusif bersama peminat serta penampilan khas di seluruh negara, sekali gus merapatkan jurang antara kami.”
Selepas bertahun-tahun membawa diri daripada muzik akibat perubahan kehidupan, komitmen keluarga dan keutamaan kerjaya, Disagree sebelum ini secara senyap mengambil keputusan untuk berehat, meninggalkan legasi dalam arena alternatif rock Malaysia serta peminat setia yang tidak pernah benar-benar melupakan mereka sehinggalah kini.
Kembalinya Disagree bukan sekadar didorong nostalgia, tetapi juga keinginan untuk menutup satu bab yang tidak pernah berakhir untuk mereka dan juga para peminat.
“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal.
“Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” tambah Hamka pula.
Bercerita tentang proses, lagu berkenaan dirakam di Malaysia dan Australia dan lebih istimewa diadun dan diterbitkan oleh pemenang pelbagai anugerah AIM, Greg Henderson, serta dimaster oleh pemenang Grammy, Leon Zervos, di Studios 301, Australia. Hasilnya, menjadi karya yang halus dari segi bunyi namun kekal asli dari sudut emosi, selari dengan nada introspektif dan reflektif lagu berkenaan.
Menelusuri kisah lama, sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an, Disagree membina pengaruh kukuh dengan bunyi indie progressive rock Malaysia yang unik, dipersembahkan dalam bahasa Inggeris.
Antara lagu hit mereka termasuk Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley.
Mereka juga merupakan antara nama tetap di festival ikonik Rock The World serta pernah menjadi pembuka pentas kepada kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.
Antara pencapaian gemilang mereka termasuk menerima anugerah Most Airplay pada Anugerah Malaysian English Top 10 anjuran hitz.fm, memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) sebanyak tiga kali termasuk Artis Baharu Terbaik (AIM 12), Album Inggeris Terbaik dan Kulit Album Terbaik (AIM 17), serta diiktiraf oleh Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada 2005.
Jika dahulu Disagree melambangkan suara anak muda dengan intensiti emosi ‘grunge’, kini mereka hadir dengan perspektif yang lebih matang:
Jadi, kemunculan semula ini menandakan lembaran baharu dalam perjalanan mereka, membuktikan bahawa jiwa seorang rocker tidak pernah terpisah daripada muziknya. Ini adalah fasa yang merangkul masa, jarak, perkembangan dan kemaafan.
“Kami masih kumpulan yang sama di hati. Cuma kini lebih matang, sedikit rapuh di beberapa sudut, tetapi lebih tekad dan bersemangat berbanding sebelum ini,” kata Zahid.
Bunyi mereka juga berkembang, masih berakar pada grunge dan alternatif rock, namun kini lebih kaya dengan penceritaan, kematangan dan emosi, mencerminkan perjalanan hidup antara setiap karya. – KOSMO! ONLINE
CAPTION
LAMA berdiam, kumpulan Disagree yang terdiri daripada (dari kiri), Taa, Zahid dan Hamka kini kembali dengan buat tangan baharu, bertajuk Let’s Do It All Again.
