PENYANYI Aweera menafikan dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Siti Khadijah Halim selepas memuat naik lukisan wajah aktres itu sempena hari lahirnya baru-baru ini.
Menurut Aweera, perkongsian itu dilakukan sekadar tanda penghargaan terhadap bakat dan karya seni pelakon jelita itu yang disifatkannya antara pelapis terbaik industri lakonan tempatan.
“Tak ada apa-apa pun. Saya cuma ucap selamat hari lahir sahaja. Kami tidak pernah berhubung, tidak pernah jumpa dan memang tidak ada ‘contact’ pun.
“Saya sekadar mengagumi bakat dia. Saya selalu tengok drama lakonannya dan bagi saya dia seorang yang sangat berbakat,” katanya.
Sebelum ini, perkongsian Aweera yang memuat naik hasil lukisan potret wajah Siti Khadijah dalam media sosial mengundang perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Penyanyi lagu Roman Cinta itu bagaimanapun menjelaskan, dirinya sememangnya gemar berkarya dalam pelbagai cabang seni termasuk melukis selain menulis lirik lagu.
“Saya suka kepada seni. Kadang-kadang saya tulis lagu, lirik dan melukis. Waktu itu tiba-tiba dapat idea hendak melukis gambar dia dan kebetulan pula hari jadinya — jadi saya muat naik sahaja.
“Dia pun tidak membalas pun ucapan saya dan bagi saya itu hak dia. Orang luar mungkin fikir macam-macam tetapi sebenarnya tidak ada-apa pun,” ujarnya.
Ditebak mungkinkah dia menaruh perasaan terhadap aktres itu, Aweera bagaimanapun tidak menafikan atau mengiyakan, sebaliknya hanya menyerahkan soal jodoh kepada Allah.
“Doakan yang terbaik untuk dia. Dia sebagai wanita ada hak untuk pilih yang terbaik untuk dirinya dan saya juga ada hak saya sendiri.
“Saya tidak sempurna sama seperti orang lain juga. Saya cuma kagum dengan bakat dia dan saya rasa dia antara pelakon pelapis terbaik. Saya berharap dia terus maju dalam kerjaya seninya, ” tutur Aweera lagi.
Menyentuh tentang kerjayanya, Aweera bakal mengadakan persembahan bersama dua rakan baiknya, Aepul Roza dan Fiq Halim dalam konsert Trilogi pada 18 Julai depan.
Konsert tersebut akan berlangsung di Big Pillars Hall, Astara Putra UPM, Serdang dan tiket berharga RM289, RM189 dan RM99 boleh didapati menerusi laman web, www.trilogi.uberticket.asia. – HIBGLAM
