Dia pesan ‘Aedy jaga keluarga, kekal dalam industri selagi boleh’

PELAKON Aedy Ashraf menyifatkan pemergian pelakon veteran Allahyarham Jalil Hamid sebagai kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

Menurut Aedy, 33, dia akan sangat merindui Allahyarham yang sudah dianggap bapanya sendiri setiap kali digandingkan dalam mana-mana drama sejak kecil.

“Saya sebenarnya sangat terkejut dengan pemergian arwah, kami banyak berlakon drama bersama ketika saya kecil.

“Bagi saya, arwah seorang yang sangat berbakat dan berhati baik.

“Rasa sebak bila cerita perkara ini — arwah seperti seorang bapa di set penggambaran, sangat penyayang baik,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem Tarung Unforgiven di sini, semalam.

Baginya, Jalil merupakan individu yang sangat baik dalam segala hal termasuk melayan setiap orang di set penggambaran dengan baik.

“Malaysia kehilangan satu permata yang sangat jujur.

“Arwah adalah pelakon senior yang sangat baik di set penggambaran dengan menganggap setiap orang seperti anak sendiri.

“Dia tidak ada anggap dirinya terlalu tinggi meski kita tahu tarafnya dalam dunia seni ini bagaimana,” tuturnya.

Berkongsi antara momen bersama Allahyarham, Aedy berkata, Jalil sering berpesan kepadanya agar sentiasa jujur dengan setiap karya lakonan sendiri.

“Arwah selalu menjadi seseorang yang semua orang sayang kerana kejujuran dan keikhlasannya untuk semua perkara dilakukannya. Saya sayang dia.

“Arwah juga pernah berpesan kepada saya, ‘Aedy jaga keluarga, kekal dalam industri selagi boleh’ sebab dia juga kenal ibu saya.

“Pesanan lain yang saya ingat sehingga hari ini ialah berlakon perlu jujur dan saya pegang kata-kata itu sampai sekarang,” katanya lagi.

Semalam, dunia seni tanah air dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Jalil Hamid yang meninggal dunia dalam tidur.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanag Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok