1
DILABEL sebagai selebriti sombong, pelakon Zahirah Macwilson berasa adalah sangat tidak adil sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman terhadap seseorang berdasarkan interaksi singkat.
Malah, Zahirah atau Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 31, menjelaskan bahawa sebarang salah faham yang timbul mungkin berpunca daripada faktor luaran dan tidak pernah dilakukan dengan niat yang sengaja.
“Saya tak mahu komen terlalu banyak tentang perkara ini. Bagi saya, tidak adil untuk melabel seseorang itu sombong hanya berdasarkan interaksi yang berlaku dalam sesaat dua.
Sombong itu satu perkataan yang berat dan besar maknanya. Tapi kalau di luar, saya sebenarnya okey saja berjumpa dengan orang ramai.
“Saya selalu ada pertemuan manis dengan peminat. Kebanyakan mereka terinspirasi dengan saya tapi sebenarnya, saya yang terinspirasi dengan mereka.
“Tak boleh nak komen bagi pihak mereka yang rasa begitu. Mungkin ketika itu waktu yang tidak sesuai atau saya sedang memikirkan perkara lain, tak pernah dilakukan dengan sengaja,” katanya pada sidang media drama terbaharunya berjudul Good Boys Go To Heaven, baru-baru ini.
Ditanya sekiranya tuduhan tersebut mahu menjatuhkannya, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu hanya menyifatkan tindakan menaip tanpa rasa akauntabiliti hanya akan menyakitkan hati orang lain dan berharap masyarakat lebih berhati-hati dalam berkata-kata.
“Saya tak boleh cakap dan tidak mahu melaga-lagakan orang. Bagi saya, kalau tiada benda baik nak cakap — lebih baik diam saja.
“Kita di zaman media sosial yang terlalu mudah untuk menaip apa saja tanpa rasa tanggungjawab atau akauntabiliti.
Orang boleh cakap sesuka hati tanpa nampak bagaimana kata-kata itu menyakitkan hati atau memberi kesan kepada mental seseorang.
“Saya rasa tak perlu cakap apa-apa kalau perkara itu bukan fakta, sekadar andaian atau tuduhan semata-mata, kecuali jika apa yang anda perjuangkan adalah satu kebenaran,” jelasnya lagi.
Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan ada individu yang cuba mengambil kesempatan demi meraih perhatian segera dalam media sosial.
“Saya cuma mahu galakkan orang ramai supaya tidak bercakap sesuatu yang boleh memberi kesan buruk kepada orang lain sama ada dilakukan secara sengaja atau tak.
“Ramai orang yang cuba meraih populariti segera. Tidak mengapalah, itu lumrah manusia,” ujarnya.
Sebelum ini, kecoh dalam platfom Threads berkenaan senarai artis Malaysia yang dikatakan sombong termasuk nama Zahirah. – KOSMO! ONLINE
