Tiada sentuhan, saya akan lebih berhati-hati selepas ini – Syamel

“SAYA terus hubungi Ernie.”

Demikian kata penyanyi Syamel selepas tular satu klip video babak bersentuhan dengan seorang pelakon wanita dalam teaser video muzik lagu terbaharunya, Pertama.

Menurut Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 33, tindakan itu dibuat bagi memberi penjelasan selepas babak bersama finalis Dewi Remaja 2025, Shermaine Alexander itu mengundang reaksi kurang senang netizen.

“Selepas viral dan ramai komen tidak suka apa dilihat kerana status saya sebagai suami orang, perkara pertama saya buat adalah hubungi isteri saya.

Saya tanya pandangan dia dan bila kami tengok bersama-sama siap zoom lagi untuk pastikan betul atau tidak ada terkena atau terpegang, sebenarnya tidak ada sentuhan pun, hanya trick kamera,” katanya.

Tambah Syamel, ramai beranggapan berlaku sentuhan ketika penggambaran muzik video tersebut dijalankan sehingga dia turut menghubungi Shermaine bagi mendapatkan kepastian mengenai babak berkenaan.

Meskipun begitu, Syamel mengambil pendekatan untuk memohon maaf sekiranya babak berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminatnya.

Saya ambil pendekatan untuk mohon maaf kerana memperlihatkan babak sebegitu. Teguran ini tandanya ramai memerhati dan sayang saya.

“Sebagai seorang yang matang dan berfikiran positif, saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Tidak mungkinlah hanya ada Ernie sahaja dalam video muzik saya” ujarnya berseloroh.

Syamel berkongsi perkara itu semasa sidang media pelancaran lagu Pertama yang diadakan di TGV Cinemas, Pavilion, Bukit Jalil pada petang Selasa.

Terdahulu, klip video yang dimuat naik Syamel di aplikasi Threads mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.

Ramai meluahkan rasa kurang senang melihat adegan tersebut memandangkan penyanyi itu berstatus suami kepada penyanyi Ernie Zakri.

Dalam pada itu, Pertama adalah lagu daripada EP sulungnya yang berentak groovy ciptaan komposer dan penyanyi terkenal, Edry Abdul Halim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok