KEPRIHATINAN cef selebriti terkenal Chef Wan terhadap nasib pesakit kanser diterjemahkan menerusi sumbangan RM50,000 bagi menjayakan kempen 20 Years of Hope: Masih Di Sini anjuran Max Family Society Malaysia.
Pelantikan Chef Wan sebagai duta kempen berkenaan hadir tepat pada masanya apabila beliau sendiri pernah melalui pengalaman sebagai pesakit kanser limfoma dan memahami cabaran yang dihadapi pesakit serta keluarga.
Menurut Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Dr. Redzuawan Ismail, sumbangan tersebut dibuat dengan harapan lebih ramai individu, syarikat korporat dan pihak berkemampuan tampil menghulurkan bantuan demi meringankan beban golongan memerlukan.
“Saya sendiri bekas pesakit kanser. Sekarang ini masa untuk saya pula bantu masyarakat setakat yang termampu. Saya harap lebih ramai akan tampil menyumbang kerana ramai pesakit memerlukan sokongan, bukan sahaja dari segi rawatan tetapi juga emosi dan kewangan,” katanya.
Dalam masa sama, Chef Wan turut berkongsi pengalaman pahit apabila beberapa penaja dan jenama menarik diri daripada bekerjasama selepas mengetahui dirinya menghidap kanser.
Katanya, perkara tersebut berlaku kerana masih ada stigma dalam kalangan sesetengah pihak yang beranggapan penyakit itu memberi imej negatif terhadap sesuatu produk.
“Memang ada jenama yang tarik diri. Mereka kata tidak mahu orang salah pandang kerana saya ada kanser dan bimbang produk tidak boleh dijual.
“Itu stigma yang saya sendiri terpaksa hadapi. Tapi saya percaya perkara ini bukan berlaku kepada saya seorang, ramai lagi di luar sana turut melalui situasi sama,” ujarnya.
Tambah selebriti berusia 68 tahun itu, pengalaman tersebut memberi pengajaran besar terutama mengenai kepentingan persediaan kewangan ketika sihat.
Konsert amal
Katanya, setiap individu perlu mempunyai simpanan atau perlindungan insurans kerana tiada siapa tahu bila musibah akan datang.
“Sediakan payung sebelum hujan. Bila sakit, kewangan mesti bersedia. Nasib saya baik sebab dari awal saya suka menabung dan ambil insurans.
“Jadi, ketika sakit, saya tidak perlu fikir beban kewangan yang besar. Saya hanya fokus berjuang melawan kanser dan proses penyembuhan,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun ada pihak menjauhkan diri, rezekinya tetap murah dan terus menerima pelbagai tawaran kerja termasuk di stesen televisyen.
“Satu pergi, 20 lagi datang. Saya percaya Allah yang tentukan rezeki. Siapa sangka pada usia 68 tahun, ketika orang lain sudah pencen, saya masih sibuk bekerja,” katanya.
Sementara itu, kata Presiden Max Family Society Malaysia, Dr. Abd Razak Muhamad, kempen 20 Years of Hope: Masih Di Sini akan berlangsung bermula bulan ini hingga hujung tahun dengan pelbagai aktiviti termasuk perkongsian pengalaman, konsultasi dan kesedaran kesihatan.
“Pihak kami berterima kasih kepada Chef Wan yang bukan sahaja sudi menjadi duta kempen tetapi turut memberi sumbangan.
“Diharap kerjasama ini akan memberi lebih kesedaran kepada orang ramai untuk tampil membantu kerana perjuangan melawan kanser bukan untuk individu yang sakit sahaja tetapi seluruh keluarga tambahan buat mereka yang kekurangan dari segi kewangan,” tuturnya.
Kemuncak kempen, sebuah konsert amal bakal diadakan pada 18 September depan dengan tiga artis utama yang akan diumumkan kelak.
Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada pesakit kanser darah serta keluarga yang memerlukan. – HIBGLAM
