MAMA tebalkan muka minta orang padam video kecam kek batik Hayla.”
Itu tindakan nekad pelakon Wawa Zainal, 34, apabila tular video yang memberi rating rendah terhadap kek batik air tangan anak perempuannya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa.
Perkara itu dilakukan Wawa selepas hatinya terkesan melihat Hayla, 9, menitiskan air mata apabila tidak tahan dengan kecaman yang diterimanya.
“Hari ini viral dalam TikTok orang buat video beri rating pada kek batik Hayla dan ribuan komen kecaman.
Saya kuat tetapi bila tengok Hayla menangis, jadi sebaliknya.
“Saya sanggup tebalkan muka mesej individu tersebut untuk padam video sebab tak sanggup melihat anak kena hina,” katanya dalam platform Thread.
Dalam masa sama, dia menghargai setiap kata-kata positif yang diberikan orang ramai selain tetap meminta berpada-pada dalam memberi ulasan terhadap sesuatu perkara.
“Terima kasih yang beri kata-kata semangat kepada Hayla.
Saya sendiri tak sanggup baca komen dalam hantaran individu itu. Kalau tak suka, janganlah teruk sangat kata-kata itu dan jagalah penulisan kalian,” ujarnya.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berharap Hayla terus kuat berdepan dengan sebarang kritikan selain melahirkan rasa bangga untuk setiap perkara dilakukan anaknya itu.
Sabarlah, jangan menangis sayang. Mama pun sebenarnya tahan air mata sahaja.
“Selalunya mama kuat tau tetapi bab anak ini, mama tewas.
“Mama dan ayah bangga dengan Hayla, ingat itu,” ujarnya lagi.
Wawa turut memuat naik video memaparkan Hayla menangis dan mempersoalkan mengapa wujud individu yang mengutuk kek batik jualannya.
Terdahulu, perniagaan kek batik yang diusahakan Hayla mendapat perhatian netizen dalam media sosial.
Namun, Wawa dan suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel pernah berkongsi Hayla kerap sakit dipercayai kerana penyakit ain selepas bisnes kek batiknya mula tular dan mendapat sambutan ramai. – HIBGLAM