Along Cham tuntut cerai, Afreena sedia dilepaskan

Pelakon dan pelawak, Along Cham hadir di Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini bagi prosiding pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi.

Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, tiba kira-kira pukul 11.10 pagi ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir dan peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan.

“Doa yang baik-baik,” katanya ringkas kepada Kosmo! Online.

Afreena pula tiba pada pukul 11.38 pagi bersama peguamnya, Mohammad Iezwan Ielias.

Enggan lagi serabut, dia berharap proses perceraian dapat diselesaikan segera.

“Saya berharap semuanya selesai hari ini sebab perkara dah berlanjutan selama enam bulan bahkan hampir setahun.

“Harapnya hari ini tiadalah isu-isu kesalahan dokumen atau perkara tidak sepatutnya.

“Saya dah bersedia lama dah untuk dilepaskan. Harapnya semuanya selesai juga hari ini sebab benda ini dah kacau banyak benda termasuk kerja,” ujarnya.

Sebelum ini, Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mengarahkan Along melantik peguam selepas mendapati terdapat kesilapan dalam dokumentasi.

Terdahulu, Afreena mendedahkan rumah tangga mereka bermasalah sejak dua bulan selepas berkahwin.

Along sebelum ini mengaku pernah melafazkan cerai di luar mahkamah pada Jun 2023.

Pasangan itu berkahwin pada 4 April tahun lalu. Perkahwinan tersebut merupakan yang kedua buat Along selepas berpisah dengan Zila Seeron pada 2016.

Mereka tidak dikurniakan anak hasil perkahwinan ini. Along mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok