Angkuh, Kanye West berangan miliki Paris Hilton

MASIH berdendam walaupun sudah hampir tiga tahun bercerai, penyanyi Kanye West mengungkit kisah lampau seolah-olah mahu memalukan bekas isterinya, Kim Kardashian.

Menerusi hantaran dalam laman Twitch, penerbit berusia 47 tahun itu mendedahkan dia sepatutnya dikurniakan anak dengan pewaris rangkaian hotel ternama iaitu pelakon, Paris Hilton, bukan Kim.

Suatu ketika dulu Kim pernah menjadi pembantu peribadi kepada sosialit popular tersebut sekali gus Kanye bertujuan mengejeknya apabila mengungkit kisah lampau.

Lelaki berusia 47 tahun itu seperti mahu mentertawakan bekas isterinya walaupun kini kehidupan ibu kepada empat cahaya mata terbabit dilimpahi kemasyhuran.

“Bayangkan kalau saya punya anak dengan Paris. Berapa banyak hotel saya miliki sekarang? Kekuatan Kim adalah mengambil anak-anak saya. Saya punya anak dengan seorang pembantu,” ungkapnya.

Hasil tujuh tahun perkahwinan, Kim dan Kanye dikurniakan North, 11, Saint, 9, Chicago, 7, dan Psalm, 6, namun mereka bercerai pada November 2022.

Begitupun Kim menangkis tuduhan tidak membenarkan Kanye bertemu anak, sedangkan katanya sebagai bapa lelaki terbabit boleh berjumpa mereka pada bila-bila masa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok