Fenomena Blood Brothers, RM9.2 juta 2 hari tayang

GABUNGAN aksi, emosi dan sinematografi luar biasa dalam Blood Brothers: Bara Naga terbukti bukan omong kosong apabila mencatat kutipan mencecah RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan rasmi termasuk tayangan awal sejak 8 April lalu.

Ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara, filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra tersebut menjadi antara karya tempatan dengan capaian tayangan paling besar, sekali gus membuktikan cita rasa penonton terhadap naskhah berkualiti semakin berkembang.

Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu muncul antara negeri yang merekodkan tontonan tertinggi menjadi isyarat jelas bahawa semangat persaudaraan, dendam dan perjuangan dalam naskhah itu benar-benar menyentuh hati penonton.

Ramai memuji aspek teknikal, koreografi pertarungan dan mutu lakonan yang dianggap setaraf produksi antarabangsa.

Malah, pelakon Fikry Ibrahim turut menyuarakan kekaguman terhadap usaha pasukan produksi yang disifatkan luar biasa.

“Saya tengok lakonan semua pelakon sangat smooth dan seimbang. Komitmen mereka luar biasa, masing-masing berjaya hidupkan watak dengan natural.

“Gabungan Syukri, Sharnaaz, Syafiq dan Kepeng memang cukup rempah. Hasilnya memang menjadi. Tahniah kepada seluruh pasukan,” katanya.

Blood Brothers: Bara Naga kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia. Saksikan sendiri kisah penuh dendam, kasih abang-adik dan keberanian luar batas yang bakal mencipta sejarah baharu dalam dunia perfileman tempatan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok