Tidak melenting ditegur, pelakon Noorkhiriah mengakui kekhilafan melakonkan babak bersentuhan dengan Azhan Rani menerusi drama Seribu Tahun walaupun dalam keadaan berlapik.
Pada masa sama, Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 47, memaklumkan sudah berusaha menjaga batas dalam lakonan.
Saya faham niat tidak menghalalkan cara walaupun berlapik, sedaya upaya saya cuba untuk tidak bersentuhan dan berlapik.
“Tetapi itulah, kadang-kadang kita terbabas. Ada satu babak yang belum keluar, Nor (watak Khiriah) didukung namun yang didukung itu bukan saya, pendua saya.
“Saya jelaskan di sini supaya tiada yang bertanya. Mungkin kesilapan saya kerana membuka ruang untuk dikecam serta komen yang bukan-bukan,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Nur itu juga berjanji akan memperbaiki diri menjadi muslimah lebih baik selain menzahirkan terima kasih atas teguran.
“Apa pun terima kasih atas setiap teguran, saya terima. Insya-Allah segala yang buruk daripada saya, yang baik dari Allah.
“Saya sedaya upaya berusaha untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Nak istiqamah dan jadi lebih baik tak semudah mata memandang, doakan ya,” ujarnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial memaparkan babak Noorkhiriah memegang paha Azhan dalam drama Seribu Tahun.
Meskipun berlapik, netizen kurang senang dengan tindakan tersebut kerana penampilan Noorkhiriah yang kini sudah berhijrah. – HIBGLAM