SELEPAS mencipta fenomena luar biasa tahun lalu, penyanyi Indonesia, Bernadya bakal kembali buat kali ketiga menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah Untungnya, Untungnya di Zepp KL pada 13 Julai depan.
Istimewanya, bukan satu lokasi sebaliknya Bernadya juga bakal menghiburkan peminatnya di KDCA Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai nanti.
Menurut pelantun lagu Satu Bulan itu, dia bersyukur karya diterima peminat Malaysia sekali gus membuka peluang untuk mengadakan konsert di sini.
“Sangat gembira dapat kembali ke sini kerana Malaysia selalu ada tempat istimewa dalam hati saya.
“Semoga jelajah Untungnya, Untungnya ini berupaya menjadi jelajah perayaan atas keberuntungan-keberuntungan kecil atau besar yang jarang kita apresiasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, dia juga mahu setiap penonton yang hadir memakai busana berwarna cerah berbanding hitam dalam konsert sebelum ini yang membawa maksud tidak lagi tersekat dalam kehidupan penuh kesedihan.
“Saya juga mahu ajak BersenadyaMalaysia (kelab peminatnya) untuk menikmati sajian tampilan pertunjukanku lebih dekat dengan set yang lebih lengkap dari mini album dan album pertama saya.
“Saya ingin Bersenadya untuk sama-sama hadir dan merayakan dengan memakai busana berwarna cerah, kerana melambangkan bahawa kamu tidak ada dalam fasa yang gelap (berduka) lagi.
“Kita mahu rayakan bersama-sama, pulang dan datang dengan hati yang gembira,” tuturnya.
Acara anjuran Juni Concert dengan kerjasama Sembang Kari Entertainment itu bakal menampilkan seorang lagi penyanyi Indonesia, Adrian Khalif.
Tidak hanya tampil sebagai kolaborasi menerusi lagu Asumsi, Adrian juga akan tampil dengan set yang istimewa turut merayakan jelajah ini.
Sementara menurut wakil penganjur Sembang Kari Entertainment, Fuad Simim, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama bagi merealisasikan konsert terutama berpeluang membawa penyanyi berkenaab ke Sabah.
“Kami merasa bangga dapat berkolaborasi dengan Juni Concert dan sangat berbesar hati dapat membawa Bernadya ke Sabah untuk pertama kalinya.
“Kami percaya konsert ini akan menjadi pengalaman luar biasa bagi para penonton, kerjasama yang baik serta kejutan istimewa yang hanya boleh dinikmati secara langsung di acara tersebut.
“Kami juga berharap konsert ini dapat memajukan industri hiburan di Sabah dan menjadi penanda aras hadirnya konsert lain pada masa mendatang,” jelasnya.
Tiket konsert sudah mula dijual pada 15 Mac 2025 menerusi laman web rasmi, www.myticketempire.com. – HIBGLAM