PENYANYI dan komposer, Naim Daniel mendedahkan impian terbesarnya buat masa sekarang adalah berkahwin sekali gus membahagiakan syurga hatinya iaitu ibu tersayang, Nora Taher.
Naim, 28, atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel bin Baharin berkata, dia menanti dengan penuh sabar dikurniakan pasangan yang dapat menerima dirinya seadanya.
Impian terbesar saya untuk dijadikan realiti mungkin berbini kot. Buat masa sekarang, saya belum ada lagi (bini).
“Ibu mana yang tak nak tengok anaknya berkahwin dan bahagia. Saya rasa spektrum kebahagiaan baharu buat orang tua adalah nak bagi menantu buat mereka,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran EP terbaharu Iman Troye, Janji Raya sebentar tadi.
Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, pelantun lagu Sumpah itu berkata, andai sudah berkahwin nanti dia ingin sentiasa berkepit dengan permaisuri hatinya.
Pada masa sama, Naim juga terbuka untuk berjodoh dengan mana-mana wanita tanpa mengira pangkat atau jurang usia.
“Tahun ini, saya cuba untuk mengenali seseorang juga tapi kita tengok how it goes (tengok macam mana). Saya tak nak tergesa-gesa benda-benda begini.
Saya tak kisah orang industri atau sebaliknya. Dan, kalau wanita itu lebih berusia berbanding saya pun, saya okey.
“Asalkan wanita itu nanti faham cara kerja dan tanggungjawab masing-masing, saya okey. Saya lelaki yang mengada-ngada. Makan pun nak bersuap. Susah nak cari bini yang boleh terima budak tiga suku macam saya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Naim pernah digosipkan bercinta dengan Iman Troye, namun pelantun lagu Teman itu menjelaskan kepada media bahawa hubungan mereka seperti adik-beradik sahaja. – HIBGLAM