PELAKON dan penyanyi, Syaffiq Sahli akui dirinya makin dikenali ramai selepas menjadi peserta program Gimme The Mic Malaysia (GTMM).
Menurut Syaffiq atau nama lengkapnya Mohd Syaffiq Sahli, 39, dulu orang hanya mengenalinya melalui watak dalam drama yang dijayakannya berbanding nama sebenar.
“Impak rancangan GTMM sangat besar dalam karier saya. Sebelum ini orang panggil saya dengan nama watak dalam drama seperti Jali, Zarul dan sebagainya.
Tetapi selepas sertai GTMM, orang mula panggil saya dengan nama Syaffiq. Bagi saya ini adalah satu penghormatan buat saya. Tahun ini genap 13 tahun saya dalam industri seni. Untuk dikenali ramai bukan senang.
“Ramai yang tanya saya kenapa tak buat gimik atau kontroversi untuk naikkan nama? Saya tak perlukan semua itu sebab kalau buat akan ada dua kemungkinan sama ada nama saya terus ke atas atau menjunam ke bawah. Saya tak mahu ambil risiko. Penat saya nak bina nama selama 13 tahun,” katanya kepada HibGlam.
Akui rezeki semakin bertambah sejak tamat GTMM, terbaharu Syaffiq muncul dengan lagu raya berjudul Di Hari Mulia bergandingan bersama pempengaruh TikTok, Boss Wan.
“Saya tak sangka dilamar oleh komposer terkenal, Zul 2by2 menyanyikan lagu raya ini. Untuk mempunyai lagu raya sendiri merupakan sesuatu yang sangat besar bagi seorang penyanyi.
Disebabkan saya selalu bergandingan dengan Boss Wan dalam TikTok, jadi saya cadangkan kepada Abang Zul untuk kami berduet lagu ini dan dia setuju.
“Video kami berdua selalu FYP dalam TikTok. Jadi saya rasa gandingan ini pasti akan disukai pengikut-pengikut kami,” katanya yang mendasarkan pendengar daripada pengguna media sosial.
Selain Syaffiq dan Boss Wan, lagu Di Hari Mulia ciptaan Zul 2by2, Anje Maya dan lirik oleh Bonda Puteri Ryana turut menampilkan Maya The Girls. – HIBGLAM