‘Saya tak marah dihina, hanya senyum, ucap alhamdulillah’

SAYA dan anak-anak juga terpalit, agama kami dihina namun saya hanya balas dengan emoji hati.”

Demikian kata pelakon Eira Syazira yang turut terkena tempias perbuatan suaminya, Azad Jasmin dan dua lagi penyampai 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad serta Radin yang tular sehingga disiasat pihak berkuasa.

Meski dicaci, Eira bagaimanapun kekal tenang dan tidak melenting kerana yakin dia tidak bersalah selain percaya Tuhan sentiasa bersamanya.

Saya tak marah mereka sebab saya tak bersalah, hanya senyum dan ucap Alhamdulillah, semuanya tenang sahaja,” katanya dalam siaran langsung TikTok.

Berkongsi keadaan terkini suaminya, Eira memaklumkan Azad dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Jangan risau, Pak Azad baik-baik sahaja. Kalian semua doakan sahaja.

Saya minta dia sabar, tenang dan responnya hanya diam. Jangan lama-lama berduka lara sebab ada Allah.

“Tak mengapa, lagi orang caci maki dan hina, lebih banyak barakah yang dapat pada bulan Ramadan ini. Orang terpilih sahaja yang Allah uji untuk menghadapi dugaan sebegini,” jelasnya.

Sementara itu, sata-rata netizen termasuk kaum India menzahirkan rasa simpati selain memaafkan perbuatan tiga penyampai radio Era itu.

Perkara tersebut terbukti apabila Eira menerima komen daripada individu berbangsa India bernama Shantini dalam TikTok yang menerima permohonan maaf daripada tiga penyampai radio berkenaan.

“Hai Encik Azad, apa yang berlaku sudah pun terjadi dan awak telah meminta maaf.

Kami menerimanya dalam lubuk hati yang terdalam.

“Kami juga manusia dan melakukan kesilapan. Semuanya akan baik-baik sahaja. Tuhan sentiasa menyebelahi awak,” katanya,

TANGKAP layar perkongsian seorang pengguna TikTok, Shantini yang menerima permohonan maaf Azad.

Komen tersebut sekali gus mengundang rasa terharu dalam kalangan netizen lain dan berharap isu berkenaan segera diselesaikan secara baik.

Semalam, Nabil, Radin dan Azad selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.

Selain penyampai 3 Pagi Era, tiga lagi kakitangan Era FM turut dilihat beredar dari premis tersebut.

Kelmarin, video permohonan maaf daripada mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.

Video tersebut mengundang kemarahan ramai kerana didakwa tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Rentetan itu, Astro turut memaklumkan tiga penyampai radio dan dua lagi kakitangan digantung tugas sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok