‘Pernah ayah kejar pusing flat, semua orang keluar tengok’

TERLALU nakal dan tidak mendengar kata ketika zaman kanak-kanak, pelakon Syafiq Kyle pernah dikejar bapanya, Abdul Razak Husin, keliling kawasan perumahan.

Jelas Syafiq atau nama lengkapnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, bapanya terkenal dengan sikap garang bahkan  penghuni flat mengetahui ketegasan lelaki itu dalam mendidik anak-anak.

“Saya dan abang main bola petang, balik rumah tak mandi sampai Maghrib, rumah pula tak kemas. Biasalah budak-budak. Bila ayah balik dari kerja dalam keadaan penat, tengok kami buat hal, memang kenalah.

Saya pernah kena kejar dengan ayah pusing satu flat sampai semua orang keluar tengok. Masa itu saya ambil peluang masuk rumah jiran untuk selamatkan diri, tapi ayah tetap ikut masuk ke dalam rumah orang tu.

“Rumah flat kan, jiran-jiran saling bantu-membantu. Tapi memang ‘legend’ sebab kalau ayah mengamuk, semua orang akan tahu,” katanya dalam sebuah audio siar.

Tidak berkecil hati jauh sekali menyimpan dendam, pelakon One Cent Thief itu menyifatkan pendekatan figura dihormatinya sebagai didikan yang membentuk dirinya menjadi insan lebih baik.

Tegas macam mana pun, ayah saya mendidik dengan cara tersendiri. Saya jadi hormat semua orang tanpa melihat pekerjaan atau status mereka.

“Secara tak langsung, dia ajar saya untuk lebih berdisiplin dan tahu menghormati manusia,” luahnya.

Sementara itu, ramai peminat yang mendengar kisah tersebut berkongsi pengalaman sama dibesarkan dengan cara lebih tegas berbanding generasi sekarang.

Dulu kalau buat salah, memang kena rotan atau kena kejar, tapi sebab itu kita jadi manusia hari ini,” kata seorang netizen.

“Kalau bapanya tak garang, tak jadilah Syafiq Kyle yang kita kenal sekarang,” tulis seorang lagi.

Suami kepada aktres Mimi Lana itu merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik yang kesemuanya lelaki.– HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok