Balas dendam macam Sakata di ‘bandar syaitan’ Shinjo

Apabila melibatkan urusan menterjemah naskhah bertemakan dendam kesumat pembunuh upahan atau ‘hitman’, serahkan sahaja kepada produksi Jepun. Memang jarang mengecewakan. 

Itu pendapat peribadi penulis terutama selepas menghabiskan masa 1 jam 47 minit menonton filem Demon City yang dibintangi pelakon aksi hebat, Toma Ikuta dan Ami Toma. 

Demon City yang mengisahkan tentang seorang ‘hitman’ bangkit daripada koma 10 tahun selepas kejadian berdarah keluarganya dibunuh kejam sekumpulan gengster bertopeng membuktikan, orang Asia kalau buat filem aksi kadang-kadang 10 kali bagus berbanding mereka di Hollywood. 

Dari segi naratif atau plot penceritaan, Demon City diadun kemas tanpa perlu membuatkan penonton ‘susah tangkap’ apa yang ingin disampaikan. 

Pengarah, Seiji Tanaka bijak memaku perhatian audiens dengan bertubi-tubi memberikan ‘punchline’ dalam setiap babak.

Ultra ganas, ‘gory’

Baik babak cemas darah memancut melibatkan Sakata (lakonan Toma Ikuta) dengan ‘syaitan’ bertopeng, sehinggalah adegan bermain emosi antara karakter utama itu dengan anak perempuannya, Ryo (Ami Toma), semuanya dilunaskan dengan kemas.

Sekali gus membuktikan Tanaka yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi filem Melancholic begitu hebat di bangku pengarah.

Keduanya, dari segi aksi dan pertarungan, sekiranya penonton mendambakan ‘sesuatu’ yang bersifat ‘gory’ menyaksikan darah memancut-mancut, tetak-menetak pada tahap maksimum, Demon City adalah jawapannya. 

Penulis secara peribadi sebagai peminat cerita berkisarkan ‘hitman’ tidak sanggup membuka mata seluas-luasnya menonton Demon City disebabkan elemen ‘gory’ melampau yang diselitkan. Rasa seperti nyawa manusia ibarat tiada harga semacam haiwan dikorbankan pada musim perayaan. 

Toma Ikuta MVP

Bagaimanapun, apa yang ingin diletakkan sebagai fokal adalah kualiti lakonan, pertarungan, permainan emosi pelakon utama iaitu Toma Ikuta sebagai Sakata. 

Pelakon itu tidak banyak bercakap dalam filem ini terutama selepas tragedi keluarganya menjadi mangsa kekejaman ‘syaitan’ bertopeng. 

Apa yang dicernakannya kebanyakan berpaksi bahasa tubuh, aksi dan mimik muka seorang ayah yang sentiasa ingin melindungi anaknya selepas diberitakan Ryo terselamat dari kejadian 10 tahun lalu. 

Toma Ikuta adalah pelakon Jepun paling cocok menjayakan karakter Shuhei Sakata yang diadaptasi dari komik manga Oni Goroshi. Itu terbukti dalam Demon City. 

Markah peratusan untuk Demon City adalah 79/100. Worth watching dan sangat memuaskan bagi peminat nuansa aksi ‘hitman’. Syabas!

Watak utama Sakata dijayakan dengan penuh luar biasa pelakon Jepun, Toma Ikuta. 

Babak ganas atau pertarungan dalam Demon City disifatkan sebilangan penonton sebagai melampau. 

Demon City diadaptasi daripada komik manga popular, Oni Goroshi. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok