‘Zamarul masih di ICU selepas diberikan ubat dos tinggi’

LEBIH dekat dengan keluarga, pelakon Zamarul Hisham yang dimasukkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan semalam akibat sesak nafas sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, hari ini.

Isterinya, Diana Rafar, berkata sehingga kini keadaan suaminya dalam tahap yang baik selain boleh bernafas sendiri seperti ketika mula-mula ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), awal pagi semalam.

“Sebenarnya saya yang minta agar suami dapat dipindahkan ke pusat perubatan di Lembah Klang atas beberapa faktor terutama memudahkan keluarga menjaganya.

“Tanpa pembantu yang boleh menguruskan anak-anak yang masih kecil sukar untuk saya berulang ke Port Dickson.

“Tambahan pula kami tidak mempunyai pembantu, jadi memindahkan abang (Zamarul) ke sini adalah langkah wajar.

“Alhamdulillah, urusan logistik menggunakan perkhidmatan ambulans berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang terbabit termasuk pihak hospital,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut pelakon itu lagi, dia tidak dapat berkongsi kondisi terkini suaminya memandangkan pakar masih menjalankan pemeriksaan klinikal.

Buat masa ini abang masih ditempatkan di ICU untuk berehat selepas diberikan ubat dos yang tinggi. Mungkin kena tunggu sebentar lagi,” katanya.

Menerusi InstaStory dia mengakui sedih melihat keadaan suaminya kerana tidak pernah melihatnya sakit begini.

“Selama ini, suami seorang yang cergas, kuat, gembira, rajin dan tak tahu duduk diam.

“Semua benda suami nak buat sendiri, tapi bila tiba-tiba jatuh macam tak terduga. Saya panik dan kosong jiwa bila tengok keadaan suami.

“Memang suami terlalu penat dan tidur tak cukup. Perasaan saya bercampur baur, sedih dan terharu membaca komen rakyat Malaysia yang sangat mengambil berat,” katanya.

Semalam peminat gempar apabila Diana berkongsi beberapa video dalam InstaStory menunjukkan aktor berusia 54 tahun itu terbaring sambil diurut beberapa kru.

Menurutnya, dia bergegas dari hotel ke lokasi penggambaran sebuah drama di kawasan pantai peranginan itu selepas dihubungi penerbit, Haji Zeel yang memaklumkan Zamarul sesak nafas.

Kata Diana, doktor belum dapat mengesan punca atau penyakit tetapi sepanjang pengetahuannya suami tiada masalah kesihatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok