BERGELAR Ratu Cantik Dunia 2000 pada usia 18 tahun membuatkan pelakon Priyanka Chopra sentiasa mencuri tumpuan ramai.
Laluan Priyanka untuk mendominasi industri perfileman Bollywood juga sangat mudah. Berbekalkan kejelitaan, tubuh seksi serta bakat lakonan yang hebat, Priyanka berjaya mengukuhkan namanya sebagai pelakon gred A.
Deretan filem pecah panggung dan anugerah popular sudah berada dalam genggamannya selaku anak wayang.
Namun di sebalik kejayaan dan populariti yang diraih, Priyanka dalam diam rupanya dibenci beberapa individu berpengaruh di Bollywood.
Semuanya gara-gara terpalit dakwaan menjalin hubungan sulit dengan beberapa hero gandingannya yang sudah bergelar suami orang.
Siapa sangka dalam lambakan jelitawan Bollywood, hanya Priyanka yang mampu membuatkan Shah Rukh Khan jatuh hati dengan heroin gandingannya.
Shah Rukh yang selama ini dilabel sebagai suami yang setia di sisi isterinya iaitu Ghauri Khan terpesona dengan Priyanka sejak mereka bergandingan dalam filem Don pada 2006.
Tidak dinafikan ‘chemistry’ di antara Shah Rukh dan Priyanka dilihat begitu kuat sebagai pasangan hero dan heroin. Malah, Shah Rukh merupakan salah seorang juri sewaktu Priyanka dinobatkan sebagai Ratu Cantik India World pada 2000.
Keintiman Priyanka dan ‘King of Khan’ itu telah membuatkan Gauri tidak senang duduk.
Gosip mengenai hubungan sulit Priyanka dan Shah Rukh semakin hangat diperkatakan selepas Priyanka dilihat memakai jaket kepunyaan Shah Rukh.
Dalam satu acara anugerah, Gauri dilihat kurang selesa menonton aksi mesra suaminya bersama Priyanka. Wajahnya mencuka saat melihat dua bintang tersohor itu bermain ‘cinta’ di depan matanya.
Rupa-rupannya bukan Gauri sahaja yang membenci Priyanka, isteri aktor Akshay Kumar iaitu Twinkle Khanna juga ‘sekapal’ dengannya.
Twinkle khabarnya melarang Akshay bergandingan dengan Priyanka selepas suaminya dikatakan menjalin hubungan sulit dengan aktres itu.
Pada 2005, Akshay telah menjalani penggambaran filem Barsaat bersama Priyanka. Namun dia tiba-tiba menarik diri dan tempatnya digantikan Bobby Deol.
Menurut pengarah filem tersebut iaitu Suneel Darshan, Akshay telah memutuskan untuk tidak meneruskan meneruskan penggambaran kerana Twinkle telah meninggalkan rumah.
Keputusan itu diambil demi menyelamatkan perkahwinannya malah Akshay tidak lagi berlakon dengan Priyanka dalam mana-mana produksi sejak kejadian itu.
Skandal Priyanka bersama dua hero ternama itu telah menyebabkan ramai nama besar dalam industri Bollywood mula menjauhinya.
Difahamkan Priyanka mula diboikot oleh penerbit dan pengarah yang tidak lagi mahu menawarkannya watak dalam filem mereka.
Sahabat baik Gauri dan Twinkle iaitu pengarah dan penerbit terkenal, Karan Johar juga dikatakan menjadi dalang kehancuran Priyanka di Bollywood.
Disebabkan tiada sebarang tawaran lakonan, Priyanka akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Bollywood dan mengembangkan kariernya di Hollywood.
Tuah menyebelahinya apabila dia berjaya mencipta nama di sana dengan membintangi drama bersiri Quantico dan beberapa filem termasuklah Star Trek dan Baywatch.
Di sana juga dia akhirnya bertemu jodoh dengan penyanyi Nick Jonas dan mereka melangsungkan perkahwinan di Jodhpur, Rajasthan, India pada 2018.
Rumah tangga pasangan romantik itu diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata perempuan, Maltie Marie yang dilahirkan pada 15 Januari 2022. – HIBGLAM