PENTAS akhir Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) bakal menyaksikan tiga penyanyi popular rantau ini, Krisdayanti, Pasha Ungu dan Taufik Batisha bersatu di malam kemuncak pertandingan realiti itu Ahad nanti.
Selain ketiga-tiga penyanyi terbabit, artis tempatan berprofil tinggi seperti Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor dan Dolla turut diundang sebagai penyanyi jemputan.
Meskipun juara masih menjadi tanda tanya, peminat lebih teruja menyaksikan barisan penyanyi jemputan yang akan bergandingan dengan enam finalis iaitu Ning Baizura, Liza Aziz, Dyrga Dadali, The Lima, Shiela Abdull dan Zehra Zambri.
Pada minggu akhir, peserta yang kekal menerima cabaran tema ‘It’s Final’ dimana setiap bintang perlu menyampaikan tiga buah lagu solo, duet dan battle bersama peserta lain.
Difahamkan, Dyrga bakal berduet bersama Jamal membawakan lagu Kekasih Awal Dan Akhir manakala Liza akan bergandingan dengan Krisdayanti membawakan karya berjudul Cinta.
Selain itu, Shiella dan Taufik akan berpadu suara menerusi lagu Aku Bersahaja, Ning Baizura dan Pasha Ungu (Terlanjur Cinta), The Lima bersama Dolla (Bye Bye Bye) serta Zehra Zambri duet dengan Jaclyn Victor (Beribu Sesalan).
GV11 yang dikendalikan Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S. – HIBGLAM