Zoe Saldana menangis julang trofi Golden Globes pertama

AIR mata mengiringi kemenangan Zoe Saldana yang tidak mampu menahan sebak apabila menerima trofi pertama Golden Globes selepas 25 tahun apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita – Filem, pagi ini.

Aktres berusia 46 tahun itu berjaya menewaskan Selena Gomez, Ariana Grande, Felicity Jones, Margaret Qualley, dan Isabella Rossellini menerusi aksi cemerlangnya dalam Emilia Perez.

Teruja dapat membawa pulang trofi yang juga pencalonan pertamanya dalam anugerah tersebut, Saldana tidak mampu menyembunyikan perasaan terharu, bahkan turut menzahirkan penghargaan kepada rakan gandingannya dalam filem itu.

Ini merupakan kemenangan pertama saya dalam anugerah ini dan gembira dapat berkongsi dengan Selena, Karla serta Jacques.

“Saya tahui ni sebuah pertandingan, namun paling penting kami saling menyokong antara satu sama lain,” katanya ketika berucap di atas pentas.

Naskhah berkisar bekas ketua kartel mendapatkan khidmat peguam lakonan Saldana mendominasi pencalonan terbanyak Golden Globes edisi ke-82 dengan 10 kategori.

Bahkan filem itu menjadi calon komedi atau muzikal dengan nominasi terbanyak dalam sejarah Anugerah Golden Globe mengalahkan Nashville pada 1975.

Selain Saldana, filem arahan Jacques Audiard itu turut membariskan Karla Sofía Gascón, Selena Gomez, Adriana Paz, Mark Ivanir dan Édgar Ramírez.

Anugerah Golden Globe yang dikendalikan pelawak Nikki Glaser bersiaran secara langsung dari Hotel The Beverly Hilton, Los Angeles bermula pukul 9 pagi tadi (waktu tempatan).

Terdahulu, aktres terbabit memulakan kerjaya lakonan menerusi siri televisyen popular, Law & Order pada 1999. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok