RUMAH tangga dengan Ben Ali didakwa berantakan, pelakon Nadiyah Shahab mengakui hanya berdepan pasang surut dalam perkahwinan seperti pasangan lain yang ada turun naik.
Biarpun tidak mengiyakan spekulasi yang sedang diperkatakan, Nadiyah atau nama lengkapnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 31, berkata mereka akan tetap bersahabat baik walau dalam apa jua situasi.
“Macam suami isteri lain, kami juga melalui fasa naik dan turun. Apa yang saya boleh cakap, kami akan sentiasa jadi sahabat baik selamanya.
“Kita pun tak tahu jodoh itu bagaimana, tetapi Insya-Allah, kami berharap jodoh kami berpanjangan untuk selamanya,” katanya menerusi kenyataan kepada media.
Menurut usahawan terbabit, setakat ini mereka juga masih bersama-sama mengendalikan Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2025 di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur pada 21 Mac depan.
Akui pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu, mereka kini lebih fokus terhadap persediaan festival selama 66 jam yang pernah menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai Expo Festival Raya Terbesar di Malaysia.
Sementara itu, Ben turut menegaskan tiada apa yang perlu dibesarkan mana-mana pihak ketika hubungan dengan Nadiyah baik-baik sahaja.
“Bukan perkara itu luar biasa bagi pasangan suami isteri untuk berbalah pandangan, tetapi sejak hidup bersama lebih enam tahun lalu setiap masalah kami cuba selesaikan sebaik mungkin.
“Cuma apa yang membezakan antara kami adalah kerana kerjaya saya dan Nadiyah selaku anak seni. Mungkin itu yang mengakibatkan hal kami jadi tumpuan.
“Hakikatnya tiada apa-apa isu yang perlu diulas atau dibesarkan. Saya cuma boleh cakap kami baik-baik sahaja,” ujar pemilik nama sebenar Nur Ali Nadzwan, 32, menjawab khabar angin yang mendakwa rumah tangga mereka bermasalah.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 10 November 2018 namun belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata
Mengenai Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management, kata lebih 700 tapak habis dijual bagkan pihaknya menyasarkan pulangan sebanyak RM25 juta keuntungan selain menarik dua juta pengunjung. – KOSMO! ONLINE