DI sebalik kisah percintaan selebriti Indonesia yang terlihat indah di hadapan lensa kamera, rupa-rupanya penuh dengan drama air mata tidak direstui keluarga.
Perjalanan menuju ke jenjang pelamin bukan satu laluan mudah sebaliknya penuh dengan ranjau apabila cinta mereka dihalang orang tua.
Apatah lagi, reda ibu bapa merupakan kunci keberkatan dalam membina rumah tangga.
Namun, ada juga yang membuktikan bahawa ada sinar kebahagiaan walaupun perhubungan itu mendapat tentangan hebat pelbagai penjuru.
Berikut deretan pasangan selebriti Indonesia yang pernah melalui fasa percintaan tanpa restu.
Christian Sugiono, Titi Kamal

SERING dilihat sebagai ‘couple goals’ kerana keharmonian rumah tangga mereka, siapa sangka Christian Sugiono dan Titi Kamal pernah melalui detik pahit tidak direstui keluarga.
Pada awal perhubungan, Christian tidak mendapat lampu hijau daripada ibu bapa Titi kerana masih muda dan perbezaan agama.
Selepas 10 tahun menyulam cinta, mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin di Australia pada 2009.
Kesetiaan mereka terbukti apabila sehingga kini mahligai cinta yang dibina kekal utuh dan hidup bahagia di samping dua putera putera kesayangan.
Judika, Duma Riris

PERJUANGAN penyanyi Judika untuk menyunting Duma Riris sebagai permaisuri hidupnya bukanlah satu misi mudah.
Pemilik nama lengkap Judika Nalom Abadi Sihotang perlu bersabar dan mengambil masa selama lima tahun semata-mata untuk memenangi hati dan kepercayaan ibu bapa Duma.
Punca utama tentangan tersebut adalah disebabkan keraguan ibu bapa Duma terhadap kerjaya Judika sebagai penyanyi yang dianggap tidak menjanjikan masa depan yang stabil, selain wujudnya salah faham antara kedua-dua pihak.
Kepayahan yang mereka lalui sepanjang menjalin hubungan secara rahsia tanpa pengetahuan keluarga akhirnya diabadikan Judika menerusi lagu Mama Papa Larang.
Kesabaran tersebut akhirnya membuahkan hasil yang cukup indah.
Asmiranda, Jonas Rivano

PASANGAN Asmiranda dan Jonas Rivano yang mendirikan rumah tangga pada 2013 pernah berhadapan jalan buntu apabila perhubungan mereka ditentang keluarga.
Ibu bapa Asmirandah ketika itu dilaporkan tidak bersetuju dengan pilihan hatinya disebabkan perbezaan agama.
Malah bapanya, Anton Farmidji Zantman juga berharap agar anak perempuannya berkahwin dengan bekas kekasih, aktor Dude Harlino.
Bagaimanapun, tembok kemarahan bapanya akhirnya runtuh apabila dia mula menerima Jonas sebagai menantu dengan hati terbuka.
Kebahagiaan keluarga tersebut sering menjadi perhatian dalam media sosial melalui perkongsian momen-momen indah yang memaparkan keakraban Jonas dan Asmirandah bersama bapanya, serta kehadiran cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga mereka.
Cut Meyriska, Roger Danuarta

PASANGAN Cut Meyriska dan Roger Danuarta tidak terlepas ujian berat apabila hubungan cinta mereka tidak mendapat restu keluarga.
Sebelum berkahwin, mereka dilaporkan terpaksa menjalin hubungan secara rahsia memandangkan bapa kepada Cut tidak merestui hubungan cinta mereka.
Namun, kekuatan cinta dan kesungguhan yang ditunjukkan Toger akhirnya berjaya melembutkan hati bapa Cut, sekali gus membolehkan mereka disatukan sebagai suami isteri pada tahun 2019.
Kini, pasangan itu hidup aman bahagia, malah dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang menjadi bukti cinta sejati mereka. – HIBGLAM
