SIAPA tidak mengenali figura bernama Uqasha Senrose yang bukan sahaja memukau peminat dengan bakat lakonan, bahkan aura kejelitaannya yang tidak pernah gagal menangkap sorotan.
Wajah kerap menghiasi televisyen, namanya disebut-sebut dalam pelbagai naskhah. Kini gelaran ibu pula menjadi episod terbaharu dalam kehidupan wanita anggun itu.
Sama ada kisah pernikahan dengan aktor Kamal Adli, sehingga berita kelahiran puteri sulung mereka, Hawra Uqaira pada April tahun lalu, semuanya bagai satu babak drama sarat warna yang menyentuh hati ramai.
Kendatipun sibuk memenuhi tanggungjawab sebagai selebriti, aktres berusia 33 tahun itu mengakui tetap menikmati setiap momen manis sebaik bergelar ibu.
Namun, di sebalik kebahagiaan dikecapi, terselit rasa rindu kepada kehidupan sebelum menimang cahaya mata.
Pun begitu, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu memberitahu bahawa fasa baharu ini mencetuskan satu perasaan yang sukar digambarkan.
Saya seronok bergelar ibu, tetapi ada masa teringat kehidupan dahulu. Waktu itu, saya bebas menonton filem, tidur bila-bila waktu tanpa perlu fikir tanggungjawab lain.
“Tetapi apabila tengok anak membesar depan mata, ada perasaan yang sungguh luar biasa.
“Setiap hari saya balik rumah dengan penuh semangat sebab nak jumpa anak. Perasaan itu buat saya rasa lengkap,” katanya kepada HibGlam.
Sebagai seorang pelakon yang komited, mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga bukanlah tugas mudah.
Bagi Uqasha, lelah yang dirasakan umpama melodi indah yang mengiringi perjalanan hidupnya.
Saya tak nafikan, ada masa terasa penat sangat. Pergi set penggambaran, balik pula kena uruskan anak. Tapi bagi saya, penat itu berbaloi.
“Pengalaman menjaga dan membesarkan anak ini adalah hadiah paling berharga dalam hidup saya,” luahnya.
Tambah manis, Uqasha dikurniakan adik-beradik iaitu Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose yang bukan sekadar penyokong, tetapi juga tulang belakang membantu menjaga si kecil tatkala dirinya sibuk dengan kerja.
Saya bersyukur ada adik-beradik yang penyayang. Nelydia dan Raysha selalu datang rumah untuk bantu jaga anak saya. Bila saya tahu Uqaira dalam jagaan mereka, saya lega.
“Nelydia sangat teliti, dari soal kebersihan hingga keselamatan. Kalau orang nak pegang Uqaira, dia akan pastikan tangan sudah dibasuh dan orang itu tidak merokok. Saya rasa sangat dihargai,” tutupnya.
Berbicara mengenai perkembangan terbaharu, Uqasha sedang dalam rangka promosi filem dibintanginya berjudul Bisikan Dosa arahan Faizul A. Rashid yang mula ditayangkan di seluruh negara pada 9 Januari lalu.
Filem berkenan juga turut menampilkan pelakon hebat seperti, Sara Ali, Che Puan Juliana Evans, Farid Kamil, Uqasha Senrose dan Sherie Merlis. – HIBGLAM