LUMRAH menjadi orang cantik, pasti sering menjadi mangsa fitnah dan hasad dengki.
Itulah yang terjadi kepada pelakon jelita, Scha Elinnea apabila dia didakwa hidup mewah kerana dibela oleh ‘VIP’.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, dia wanita yang berdikari dan punya kerjaya sendiri tanpa perlu mengharapkan ditanggung orang lain.
“Isu ini bukan baharu, sejak dulu lagi orang berkata tentang hal yang tidak benar. Tuduhan ini adalah satu fitnah.
“Alhamdulillah saya tidak pernah terlibat dengan perkara sebegini dan tak pernah teringin pun.
Saya masih ada ibu dan bapa. Sebagai anak takkanlah saya nak bagi duit daripada sumber yang haram kepada ibu bapa kita. Saya bersyukur kerana memiliki orang tua yang sangat memahami,” katanya ketika ditemui pada sidang media Gempak Most Wanted Awards 2024.
Tambah pelakon drama Nuh & Nayla itu lagi, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu berlarutan.
Ditanya adakah sukar menjadi pelakon muda, jelita dan berdikari, kata Scha dia tidak pernah hiraukan kata-kata orang.
Sebenarnya tak kisah lah anda cantik atau tidak, kalau orang dah tak suka kita tak boleh nak buat apa. Jadilah diri sendiri dan hidup gembira.
“Jangan terlampau fikir apa yang orang nak cakap tentang anda. Kalau tidak anda tidak akan dapat jalani hidup dengan tenang dan gembira,” ujarnya.
Perkembangan lain, Scha turut tercalon dalam Gempak Most Wanted Awards 2024 dalam kategori Selebriti Trending dan Drama Trending menerusi Nuh & Nayla. – HIBGLAM