‘Dapat jodoh lelaki muda pun okey, asalkan bukan suami orang’

SELEPAS hampir tiga dekad bergelar ibu tunggal, pelakon senior Nor Albaniah mengakui terbuka untuk mencari teman hidup yang mampu mengisi kekosongan hati dan memahami dirinya.

Dihimpit rasa sunyi, Nor Albaniah atau nama penuhnya Nor Albaniah Raffie, 55, berkata, persepsinya terhadap perkahwinan sudah berubah dan bersedia untuk bergelar isteri semula.

Kalau dulu, saya fikir tak perlu berkahwin lagi. Rasa macam dah tua, tak payahlah. Tapi sekarang, perasaan sunyi itu datang.

“Kalau ada jodoh, saya memang bersedia untuk berkahwin tapi mungkin tiada siapa yang mahukan saya. Entahlah,” katanya kepada HibGlam.

Menurut bintang filem Adik (1990) itu, dia tidak meletakkan kriteria tertentu namun lebih selesa berpasangan dengan lelaki muda berbanding individu sebaya atau lebih tua.

Saya tak kisah soal usia, tapi kalau lelaki lebih muda pun tak apa, asalkan matang dan bukan suami orang.

“Saya tak pernah bercinta atau ada apa-apa skandal dengan artis. Namun kalau jodoh saya seorang artis di masa depan, mungkin boleh dipertimbangkan,” dedahnya.

Mengenai cadangan menggunakan aplikasi mencari jodoh, Nor Albaniah memaklumkan dirinya terlalu berhati-hati dan sukar mempercayai individu dalam talian.

“Saya orang yang terlalu berhati-hati. Sangat berhati-hati.

Kalau menerusi aplikasi sahaja, saya tak percaya. Kalau ada orang datang ‘Hai kak, saya nak kenal,’ terus macam itu, lebih baik.

“Bukan tak percaya aplikasi cari jodoh tapi saya tak yakin dengan niat orang. Saya percaya guna aplikasi tapi untuk benda lain, contohnya Waze, bukan untuk jodoh,” jelasnya.

Paling penting kata aktres popular era 1990-an itu, lelaki yang dicari mestilah berjiwa matang dan mampu memahami kehidupannya yang unik sebagai seorang artis.

Nor Albaniah pernah melalui fasa sukar selepas kehilangan suaminya, Sudarman Daud yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 1996.

Hasil perkongsian hidup bersama pelumba kereta terbabit, dramatis itu dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Syarra. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok