‘Berwaspada, saya tiada BFF dalam industri seni’

DIA tiada masalah jika pendakiannya ke puncak karier lambat panas. Di dadanya telah tersemat satu garis, enggan populariti diangkat daripada kontroversi.

Berulang kali penegasan itu diluahkan pelakon meningkat naik, Qistina Khaled yang perlahan-lahan membina kerjaya demi satu hasrat, memahat nama di persada seni tanah air.

Meski ramai anak seni seusianya berpendapat kontroversi mampu melonjakkan populariti dan dikenali ramai, Qistina menolak elemen sebegitu. Dia mahu nama hanya disebut dek kemenjadian naskhah lakonannya.

Meledak menerusi drama Aku Bukan Ustazah dan Calar Cinta tahun lalu, Qistina bersyukur melihat perkembangan kerjaya sebagai pelakon selepas enam tahun bertapak dalam dunia seni.

Saya tak mahu orang kenal sebab kontroversi atau cerita panas. Ketika ini memang saya berusaha elak dan kawal diri daripada terjebak dengan perkara yang boleh memakan diri.

“Saya tak kejar popular dengan cara begitu, biarlah perlahan pun graf kerjaya asalkan tak terpalit benda tak elok atau dikenali kerana gosip panas seperti bercinta dengan suami orang, isu curang dan sebagainya,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

QISTINA menganggap semua watak sampingan yang dilakonkannya sebagai satu bentuk latihan dan persediaan sebelum diberi kepercayaan menggalas karakter lebih besar pada masa akan datang.- Solekan Vie Xandra (IG @vxenddraisa_)

Bercerita lanjut strateginya mengelak daripada terpalit cerita kurang menyenangkan dalam dunia seni, dia mengakui tidak mempunyai kawan baik dalam kalangan selebriti.

Bukan sombong atau ‘introvert’, dia cuma enggan membiar dirinya terlalu bersosial dan berhati-hati dalam pergaulan.

“Nampak macam periang, hakikatnya saya bukan ‘outgoing person’. Selalunya lepas habis penggambaran, saya terus balik rumah dan tak keluar lepak atau sertai ‘after party’.

Memang ada pelakon yang saya rapat tetapi hanya di set penggambaran. Kita tak boleh percaya semua orang sangat sebab tak tahu hati budi, mungkin ada yang cuba nak ‘makan’ atau sabotaj kita.

“Kalau orang tanya siapa kawan baik dalam industri, jawapan mudah, tiada. Saya tak pernah kena sabotaj tetapi lebih berhati-hati, tak boleh terlalu percaya orang dan sentiasa jaga percakapan sendiri,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Masih baru

Selain tidak mengejar populariti, dia masih beranggapan dirinya orang baharu meski sudah bergelar pelakon sejak 2019.

Baginya, masih terlalu banyak perlu dipelajari selain tiada pencapaian besar yang sudah dicapainya ketika ini, namun sentiasa bersyukur dengan setiap tawaran lakonan walaupun hanya watak pembantu.

Saya masih kecil dalam industri dan sedar masih ramai belum kenal bila sebut nama Qistina Khaled.

“Namun, alhamdulillah beberapa watak saya sebelum ini diterima dan menjadi sebutan ramai walaupun sekadar sampingan.

Setakat ini, saya masih anggap diri sebagai pelakon baru sebab tiada lagi pencapaian yang betul-betul membanggakan diri. Harap kerjaya seni pada tahun 2025 akan lebih sukses.

“Saya tak kisah label diri sebagai pelakon baharu sebab banyak lagi watak dan jenis drama belum diterajui,” ujarnya yang menyasarkan tercalon dalam mana-mana anugerah satu hari nanti.

MAHU terus mencabar diri, Qistina mengimpikan watak air mata dan wanita yang dianiaya satu hari nanti. – Penata gaya Nana Chah (IG @styledbynanachah)

Jauh di sudut hatinya, pernah juga terdetik bagaimana pelakon baharu setahun jagung akan diberi tanggungjawab menggalas watak utama berbanding yang sudah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk merebut peluang tersebut.

“Kadang-kadang saya tertanya, macam baru drama pertama tetapi terus jadi heroin dan dikenali ramai.“Tetapi bila difikirkan semula, mungkin ada kekurangan pada diri saya yang orang nampak belum mampu untuk pegang watak besar.

Saya pun masih terlalu muda dan panjang lagi masa dalam industri, tak terkejar-kejar sangat pun.

“Tambahan pula, heroin-heroin muda hari ini adalah kawan-kawan saya juga, mungkin rezeki mereka datang dulu.

Saya selalu percaya pada rezeki. Mungkin Tuhan bagi lambat sebab nak pastikan saya menjadi heroin yang berkualiti dan bersedia serta cukup ilmu nak beri ‘rasa’ kepada penonton,” katanya.

Shiqin Kamal

Dalam rancak berbual, Qistina sempat menyelit cerita ramai yang tertukar dan menganggap dirinya adalah pelakon, Shiqin Kamal.

Orang selalu salah dan ingat saya Shiqin Kamal. Itu satu masalah juga,” katanya sambil tertawa.

Ujarnya, perkara tersebut sudah sering didengarnya, malah ada yang memuji naskhah lakonan Shiqin kepadanya.

“Selalu sangat salah orang, drama saya tetapi orang kata Shiqin pula yang berlakon.

Banyak kali dan kerap sangat orang ingat saya Shiqin. Kadang-kadang orang komen dalam media sosial tanya saya ke yang berlakon filem Lagenda Budak Setan dan Reversi.

“Sudah lali dan saya sentiasa perlu ingatkan orang ramai bahawa saya Qistina bukan Shiqin,” tuturnya.

Tidak berkecil hati apabila disamakan dengan Shiqin, dia bagaimanapun teruja dan menanti peluang untuk bersua muka dengan aktres itu satu hari nanti.

“Saya memang nak sangat jumpa Shikin, ambil gambar bersama, muat naik dalam media sosial dan beri semua orang puas hati.

“Mana tahu kalau ada rezeki kami dapat berlakon bersama jadi adik-beradik.

“Apa pun, saya okey sahaja sebab Shiqin pun artis yang baik dan tiada kontroversi. Dia berlakon pun bagus,” jelasnya seraya menamatkan bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok