Afdlin Shauki nafi terlibat salah laku perolehan projek DBKL

PENGARAH dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki, 54, menafikan dakwaan dia terlibat dengan salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti yang tular dalam media sosial.

Afdlin menerusi satu kenyataan yang dikongsikan dalam Instagram berkata, fitnah itu merupakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memburukkan namanya.

“Pertama sekali saya menafikan sekeras- kerasnya bahawa  terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.

Ini merupakan sebuah usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.

“Saya telah membuat laporan polis bersama pihak PDRM untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” tulisnya.

Tambah pelakon filem Buli itu lagi, dia bersedia memberikan kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara itu oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Saya menyeru saudara saudari sekalian memberi ruang kepada pihak-pihak berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah, akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tulisnya.

Terdahulu, tular dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat mendakwa Afdlin yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL merupakan antara individu terlibat dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.

Pendedahan yang telah mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.

Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok