Peminat tulis surat buat artis guna darah haid

SETIAP selebriti pasti akan ada pengikut tersendiri termasuklah artis K-pop yang mampu meraih peminat dari serata dunia. 

Peminat sememangnya kelompok individu penting dalam hidup artis bagi menyokong perkembangan karier, namun ada juga keburukannya. 

Ada antara peminat yang obses sehingga sanggup menjadi pengintip semata-mata ingin mengetahui ‘lebih’  tentang kehidupan selebriti kesayangan mereka. 

Kali ini, Daebak  menyenaraikan beberapa kisah artis yang berhadapan insiden melampau diintip peminat bertaraf ‘stalker’. 

BTS

SIAPA yang tidak kenal dengan kumpulan BTS yang ‘mendunia’ dengan muzik yang mudah melekat dalam jiwa para pendengar. 

Pastinya, bagi peminat BTS, mereka sudah biasa menunggu kumpulan lelaki itu di lapangan terbang untuk berjumpa dengan artis kesayangan mereka. 

Namun, ada juga antara peminat yang cuba mengejar ahli BTS sehingga menyukarkan mereka untuk melakukan pergerakan.

Insiden tersebut pernah berlaku kepada Jimin yang jatuh di satu tempat apabila seorang peminat cuba melompat ke arah V sebelum dihalang pengawal keselamatan. 

EXO

BUKAN hanya wanita, artis lelaki juga pernah terjebak dalam kes penculikan dan kejadian tersebut berlaku kepada kumpulan EXO. 

Seorang pengintip menyewa van yang kelihatan serupa dengan kenderaan dinaiki EXO dan meletakkannya di tempat biasa parkir kenderaan terbabit. 

Apabila kesemua anggota hendak masuk ke dalam van, ada sesuatu yang tidak kena. Mereka bernasib baik apabila pengurus dapat menghidu kelakukan stalker tersebut. 

Pengurus berjaya menghalang mereka daripada menaiki van tersebut dan kejadian tidak diingini dapat dielak.  

Jackson 

PADA tahun 2016, pihak agensi JYP Entertainment mendedahkan bahawa penyanyi GOT7 iaitu Jackson terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang di China. 

Mereka menyatakan bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada peminat yang mengejar Jackson dengan cara pemanduan yang berbahaya.

Kemalangan tersebut menyebabkan pemilik nama sebenar Jackson Wang mengalami kecederaan. 

Taeyeon 

SEWAKTU kumpulan SNSD membuat persembahan Run Devil Run di Festival Muzik Angel Price, seorang lelaki masuk dari belakang pentas dan menarik ahlinya iaitu Taeyeon keluar dari tempat tersebut. 

Bagaimanapun, insiden penculikan tersebut gagal apabila pengawal keselamatan dan polis berjaya menahan lelaki terbabit.

Meskipun hampir diculik, Taeyeon atau nama lengkapnya, Kim Tae-yeon kembali ke pentas untuk meneruskan persembahannya.

Rata-rata memuji profesionalisme yang ditunjukkan penyanyi berusia 35 tahun yang mampu meneruskan kerjanya walaupun berhadapan insiden cemas. 

Taecyeon 

MENYERAMKAN! Penyanyi kumpulan 2PM iaitu Taecyeon pernah menerima sepucuk surat daripada peminat yang ditulis dengan darah. 

Dalam surat tersebut peminat meninggalkan nota: “Taecyeon awak tidak boleh hidup tanpa saya.” 

Peminat itu juga mendakwa dia menulis surat tersebut menggunakan darah haidnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok