Fokus final GV10, kes Siti Nordiana, 5 sekawan selesai!

PENYELESAIAN di luar mahkamah mungkin dirasakan jalan terbaik apabila penyanyi, Siti Nordiana selaku plaintif akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah terhadap lima sekawan membabitkan tuntutan sebanyak RM2.5 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu.

Persetujuan tersebut dibuat selepas Siti Nordiana, 39, atau mesra disapa Nana, bersetuju untuk mengakhiri kes tersebut secara baik tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang selepas dua tahun ‘turun naik mahkamah’.

Lima sekawan terbabit ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Sementara dua lagi sekawan itu ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Mengimbas kembali punca tuntutan saman yang dibuat terhadap lima sekawan itu, Nana mendakwa pada 20 Julai 2021 melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing, telah menyiarkan, mengeluarkan dan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Nana mendakwa, kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya, dia bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun rakaman video tersebut telah tular serta telah dimuat naik semula dalam akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Terkesan dengan fitnah yang ditaburkan oleh kelima-lima defenden, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu mendakwa telah dipandang hina oleh masyarakat yang percaya dengan kenyataan mereka, selain turut dikecam peminat dan rakan-rakan artis yang menjauhkan diri darinya.

Bahkan, Live Instagram yang dilakukan mereka turut memberi kesan terhadap reputasi dan kerjayanya sebagai penyanyi apabila kontraknya bagi tiga iklan komersial dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.

Semasa prosiding pada 5 Disember lalu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah berserta terma-terma penyelesaian.

Peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman pula mewakili Razidah, manakala Sam Musyadzahar diwakili peguam Fithril Hakim Ab. Jalil.

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah; “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.

“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini, antara saksi-saksi plaintif yang dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman dan wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Selain itu, turut dipanggil pengarah sebuah syarikat penjenamaan A. Geetharani dan peminat penyanyi itu, Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen.

Dengan penyelesaian secara baik kes tersebut di luar mahkamah, diharapkan Nana yang juga bintang All stars Gegar Vaganza (GV10) dapat memberikan tumpuan dan fokus penuh terhadap konsert minggu akhir yang bakal berlangsung malam ini di Axiata Area, Bukit Jalil.

Pada masa sama, penyanyi Syura Badron yang juga salah seorang defendan dalam kes tersebut meminta orang ramai supaya berhenti daripada mengecam dan menghina dirinya atas apa yang berlaku.

Bahkan, Syura berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika masih ada yang memaki dan menghina dirinya secara mesej langsung (DM) atau secara umum.

Tegur Syura, kes yang terjadi ke atas dirinya dan juga empat defenden lain wajar dijadikan pengajaran buat orang ramai supaya tidak mengalami nasib serupa dengannya.

“Kalian yang nak menegur, saya terima dengan hati terbuka, tapi tak perlu sampai memaki dan menghina. Kalian tak sedar ke yang kalian pun sedang mengumpat juga sekarang ini?

“Kalau ada yang nak merasa turun naik mahkamah, sila teruskan berbuat demikian, tunggu sahaja surat daripada peguam saya,” ujar Syura menerusi status yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok