ISTERI ikon penyiaran Raymond Goh, Faridah Teh menzahirkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas keprihatinan baginda berdua terhadap kesihatan suaminya.
Menerusi kenyataan media, mereka sekeluarga menghargai sokongan ramai yang terus mendoakan kesejahteraan Raymond atau nama Islamnya Mohd. Zaman Goh selepas diserang angin ahmar pada Rabu lalu.
“Raymond atau Mohd. Zaman Goh dirawat di sebuah hospital di Petaling Jaya sejak 30 Ogos lalu dan berdepan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar.
“Keluarga Raymond mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong atas keprihatinan terhadap kesihatannya.
“Malah keluarga juga memahami keadaan kesihatan Raymond membimbangkan banyak pihak dan sangat menghargai curahan kasih sayang serta sokongan yang diberikan,” katanya.
Pada masa sama, kenyataan itu turut memohon semua pihak menghormati privasi mereka ketika berdepan waktu sukar.
“Buat masa ini, keluarga mengharapkan pemahaman, kesabaran dan rasa hormat terhadap keperluan privasi ketika mengharungi tempoh mencabar ini.
“Segala sokongan dan doa amat kami hargai,” katanya lagi.
Tambah Faridah, mereka akan memaklumkan perkembangan terkini Goh dari semasa ke semasa.
Terdahulu Kosmo! melaporkan penyampai berita popular itu berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan ditempatkan di Hospital Assunta, petaling Jaya.
Goh yang sering tampil dalam slot Nightline TV3 dianggap sebagai pembaca berita bersuara emas dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran. – HIBGLAM