MESKI dikurniakan suami yang memahami dan bersikap terbuka, pelakon Ayda Jebat memilih untuk tidak melakukan babak bersentuhan dalam drama terbaharu lakonannya, Bukan Cinta Sempurna.
Katanya, prinsip tidak melakukan adegan mesra dalam lakonan sudah diketahui banyak produksi, malah untuk memuat naik bahan promosi bersama dengan rakan pelakon lelaki dalam Instagram pun akan dimaklumkan kepada Nabil Mahir terlebih dahulu.
“Sebagai isteri saya tidak ambil ringan kepercayaan diberikan suami yang selama ini memberi kebebasan untuk saya berlakon, malah dia pun tidak pernah letakkan sebarang syarat.
“Cuma, saya sendiri yang sentiasa beringat, tambahan pula selepas lebih empat tahun tidak mengambil sebarang tawaran berlakon, bimbang terlebih batas.
“Nabil pula jenis yang susah luahkan kalau tak puas hati. Jadi, saya tak mahu nanti simpan lama-lama akhirnya meletop,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di lokasi penggambaran drama siaran Astro Ria itu.
Sejak bergelar isteri, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 31, pernah menyatakan pendirian mengelakkan babak intim walaupun hanya berpegangan tangan.
Menurutnya yang kini berbadan dua, banyak cara lain boleh diguna pakai bagi menonjolkan adegan mesra selain bersyukur rakan gandingan memahami pendiriannya.
“Macam dalam drama ini saya berbincang dengan Fadlan serta rakan lain kalau ada adegan bersetuhan tukar kepada aksi lain kecuali babak terjatuh.
“Saya bersyukur sebab pengarah pun faham selain tak minta buat aksi lasak berikutan keadaan saya yang hamil lima bulan,” ulasnya lagi.
Pelakon merangkap penyanyi itu turut mengakui Bukan Cinta Sempurna adalah lakonan terakhirnya buat masa ini kerana akan ke Taiwan untuk rakaman program televisyen, sebelum memberikan tumpuan terhadap kerjaya nyanyian.
Selain Ayda, drama terbitan Global Station itu turut dibintangi Fadlan Hazim, Amar Baharin, Shah Iskandar, Hanna Aqeela, Ziela Jalil, Emelda Rosmila, Helmy RJ dan Husna Mustaffa.
Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Ana Nayla pada 21 September 2021. – HIBGLAM