“Ketakutan adalah daripada perasaan dan fikiran individu itu sendiri. Saya hanya mengajak bermain dengan mereka yang mungkin tidak boleh kalian lihat.”
Itu respons pakar ilusi terkenal, Riana apabila diminta mengulas dakwaan dirinya menggunakan ilmu hitam atau elemen berunsur khurafat dalam setiap persembahannya.
Menurut pemilik nama penuh Marie Antoinette Riana Graharani, dia sememangnya memiliki keistimewaan untuk melihat ‘sesuatu’ yang tidak boleh dilihat orang lain dengan mata kasar.
Menyambung bicara ketika ditemui HibGlam pada sidang akhbar Riana The Sacred Conjuring Live In Kuala Lumpur, Riana menitipkan pesanan agar orang ramai yang hadir menyaksikan persembahannya pada malam esok mempersiapkan mental untuk ‘bermain’ bersama.
Hadir pada hari tersebut dengan membawa objek kecil yang boleh digenggam serta pernah dimiliki oleh seseorang yang sudah meninggal dunia.
“Tiada amaran kepada mereka yang hadir dan harus diingatkan, dalam setiap persembahan saya sebelum ini memang ada penonton yang pengsan,” ujarnya.
Berkongsi mengenai boneka bernama Riani yang sering menemaninya dalam setiap persembahan, Riana berkata anak patung tersebut sudah dianggap seperti sahabat baiknya.
“Saya selalu berkomunikasi dan bermain dengan Riani.
Riani sudah seperti pelindung saya kerana kami sudah berkawan sejak kecil,” jelasnya yang meminati filem seram Jepun, Ju-On.
Mengimbau kembara kariernya, Riana merupakan pemenang Asia’s Got Talent 2017.
Sejak kemenangan tersebut, dia menerima pelbagai jemputan persembahan di seluruh dunia dan bakal mengadakan persembaha jelajah di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jerman.
Sementara itu, acara anjuran Mediaberg yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu akan turut menampilkan persembahan istimewa daripada pemain violin terkenal, Katrin Romanova dan ahli silap mata, Yihnmg. – HIBGLAM
View this post on Instagram