PROGRAM Cinta Ilmu Aidiladha dan Labbaikallah menjadi antara sembilan program baharu stesen televisyen berkonsepkan islamik, TV AlHijrah demi mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun ini.
Program dirangka khas tersebut diharapkan dapat mencetuskan rasa syukur jemaah terpilih ke Tanah Suci dan rasa pengharapan kepada undangan Allah buat mereka yang belum berkesempatan menjadi tetamu Allah.
Itulah harapan dibentangkan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris terutama bersempena dengan sambutan Aidiladha yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
“Kempen Haji tahun ini juga diimarahkan dengan program Siaran Langsung Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2023.
“Sementara, Munajat Arafah pula akan mula pada 28 Jun depan.
“Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati,” kata Namanzee.
Sinonim, malar segar
Tidak dilupakan, TV AlHijrah tetap menyajikan program yang sudah sinonim dengan audiens dan kekal malar segar di mata mereka.
“TV AlHijrah turut juga membariskan beberapa program malar segar seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot dan Tangisan Baitullah yang telah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu,” ujarnya.
Masyarakat bertamadun
Ujar Namaanzee lagi, apa yang menjadi sajian TV Alhijrah diharap dapat membentuk sebuah masyarakat yang kaya ilmu dan bertamadun.
“Semoga program-program tersebut menjadi asbab masyarakat yang beradab, berperikemanusiaan dan berkeadilan sebagaimana digariskan oleh matlamat mewujudkan Malaysia Madani,” ujarnya.
Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1444H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi peranti pintar stesen ini iaitu AlHijrah Plus.
Aplikasi berkenaan terkandung lebih 6,000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam yang dapat ditonton bila-bila masa.