Pengarah Syamsul Yusof reda menerima segala ketentuan berhubung kemelut rumah tangga bersama isteri pertamanya, pelakon Puteri Sarah Liyana.
“Hanya doakan yang baik-baik untuk saya dengan Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak,” kata Syamsul.
Syamsul berkata demikian selepas sebutan pertama kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini.
Sarah atau atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, bagaimanapun tidak hadir kerana berada di luar negara.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Sarah pada 21 Mac lalu.
Permohonan dibuat selepas Syamsul enggan menceraikan Sarah pada 7 Mac lalu sebelum mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Sementara itu, Syamsul memberitahu dia bersedia menerima segala keputusan JKP yang akan diumumkan pada Isnin depan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
“Insya-Allah saya cuba reda apa saja, mudah-mudahan dapat keputusan terbaik. Saya tidak mahu keluarkan kenyataan yang boleh melukakan hati Sarah,” kata Syamsul.
Meskipun Sarah memfailkan hadanah (penjagaan anak), pengarah filem Mat Kilau itu menegaskan dia dan isteri pertamanya itu bersikap profesional berhubung soal anak.
“Saya ada berjumpa anak, Sarah pun beri kerjasama yang baik walaupun dia failkan hadanah tentang hak penjagaan anak.
“Walaupun selama ini kami ada masalah, kami akan kekal profesional tentang hak penjagaan anak,” ujar Syamsul.
Namun begitu, Syamsul enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan keluarga.
“No comment, berkaitan keluarga saya tidak perlu kongsi. Biar saya dan keluarga sahaja tahu,” ulas Syamsul.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5. – KOSMO! ONLINE