Penerbit Datuk A. Aida menadah kesyukuran penuh bermakna apabila menang tuntutan saman terhadap pelakon Amelia Henderson berhubung kes pelanggaran kontrak lakonan sebuah drama bersiri berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Mahkamah Sesyen Sivil hari ini mengarahkan pelakon popular itu membayar lebih RM213,000 kepada A Aida kerana melanggar kontrak syarikat penerbitannya, A Aida Production Sdn. Bhd.
A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang ketika dihubungi Kosmo! Online berharap apa yang berlaku kepada Amelia dijadikan pengajaran buat pelakon lain agar menghormati kontrak sebelum bertindak sesuka hati.
“Alhamdulillah, menang. Saya saman biar jadi pengajaran buat artis lain. Lain kali, hormatlah kontrak okey.
“Bila dah tandatangan kontrak, patuhilah. Janganlah duk simpan dalam almari je (kontrak tersebut),” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ujar A. Aida, 53, sepanjang bergelar produser ini pertama kali dia berdepan pengalaman sebegini yang sedikit sebanyak memberi pengajaran juga buat dirinya.
“Sepanjang jadi produser, ini pertama kali dalam hidup berjumpa dan berdepan dengan artis esok nak ‘shooting’, malamnya tarik diri.
“Memang rasa macam tak percaya dan tak boleh diterima akal. Sebab dari bahagian saya, dah buat semua persediaan. Bukan senang nak ‘shoot’28 episod.
“Jadi, sebab itulah, saya ambil tindakan. Semoga jadi pengajaran kepada artis-artis lain di luar sana. Dah tandatangan kontrak, hormati dan patuhilah,” katanya sebak.
Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan saman yang dikemukan Aida ke atas Amelia selain memutuskan supaya pelakon terbabit memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A. Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memberi keterangan.
Ketika perbicaraan, pengurus produksi A. Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.
Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk melakonkan watak Aira menerusi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali tahun lalu.
Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan, berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A. Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan. – KOSMO! ONLINE