Melalui proses dikapan sebelum diletakkan di dalam usungan keranda antara pengalaman menginsafkan Naim Daniel ketika menjayakan drama Tanah Kubur 2.
Katanya, paling meninggalkan impak adalah ketika babak wataknya sebagai artis yang menggunakan santau demi meraih kemenangan dalam sebuah majlis anugerah berhadapan dengan azab kubur.
Begitupun, kata pelakon dan penyanyi itu, dia sendiri meminta diberikan karakter yang dapat diingati khalayak walaupun hanya muncul seketika dalam drama tersebut.
“Apabila diajukan tawaran membintangi drama Tanah Kubur 2, saya terus menerima pelawaan itu biarpun sekadar kameo kerana ini peluang yang ditunggu-tunggu.
“Ketika saya awal belasan tahun, drama arahan Rashid Sibir ini pernah menjadi fenomena, sekali gus membuatkan saya teruja apabila berpeluang bekerja dalam produksi ini.
“Memang ini pengalaman menarik dan pada masa sama menginsafkan kerana watak saya sebagai selebriti yang percaya kepada amalan khurafat meninggal dunia dan berdepan azab kubur.
“Dalam tempoh dua jam saya berada di dalam keranda yang digunakan untuk menguruskan jenazah dengan dibaluti kain kapan. Tak takut, tetapi lebih kepada rasa insaf,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin itu ditemui pada program Ramadan Kongsi Rasa – Chicken Royale bersama Pusat Kebajikan Baitul Ulfah Seri Kembangan.
Naim menyifatkan peluang berbuka puasa dan berkongsi keindahan Ramadan dengan penghuni rumah tersebut sebagai momen terindah untuk dinikmati.
“Keluarga saya berpindah ke Melaka sejak dua tahun lalu, jadi sepanjang lebih dua minggu berpuasa kebanyakan waktu saya di tempat kerja atau mengikuti majlis sebegini.
“Rasa seronok melihat wajah anak-anak ini gembira dikunjungi pelawat apatah lagi berpeluang menikmati hidangan berbuka beramai-ramai dan solat berjemaah dengan mereka.
“Sedikit sebanyak dengan menyantuni penghuni di kediaman mereka tinggal seperti hari ini membuka mata kita untuk terus menghulurkan bantuan,” katanya.
Pada masa sama, pelakon Projek: High Council itu memaklumkan setakat ini tiada lagi susulan bagi drama bersiri yang menjadi fenomena itu seperti diharapkan peminat.
Namun, katanya keakraban bersama rakan lain yang menjayakan kisah tersebut termasuk Mierul Aiman, Amir Ahnaf dan Nadhir Nasar tetap utuh hingga kini. – KOSMO! ONLINE