SELEPAS mengambil keputusan berhijrah, pelakon Zila Bakarin mengakui tidak menyesal membawa imej seksi yang pernah menarik perhatian ramai suatu ketika dahulu.
Dalam masa sama, Zila atau nama asalnya Rosmawati Bakarin, 49, bersyukur masih diberi peluang untuk berubah menjadi muslimah lebih baik terutama dalam soal penampilan diri.
“Kalaulah saya tahu nikmatnya begini, saya dah pakai tudung awal-awal dahulu tetapi kita tidak boleh menyesal dengan apa yang pernah kita lalui.
Mungkin kalau dahulu saya bertudung, sekarang hati saya terdetik ‘kan seronok dapat warna rambut, pakai skirt pendek macam orang itu’.
“Saya pernah lalui zaman itu semua, dah merasa. Jadi, bagi saya syukurlah tuhan masih beri saya peluang untuk terus baiki diri,” katanya dalam sebuah siaran langsung.
Berkongsi lanjut, Zila mengakui pernah rasa tidak selamat untuk keluar dari rumah kerana pakaiannya yang terdedah.
“Kalau selak dalam almari saya dulu, satu baju pun tiada yang tertutup. Semua terdedah sana sini.
Sampai satu tahap saya rasa nak keluar pun tak selamat.
“Dulu sebut sahaja Zila Bakarin, orang mesti tahu punya dahsyat dalam berpakaian tetapi sekarang alhamdulillah saya selesa macam ini,” ujarnya lagi.
Selain itu, pelakon filem Syaitan Munafik itu seronok menjalani kehidupan sekarang yang lebih tertutup.
Saya tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya saya diberi kesempatan untuk itu.
“Saya gembira dengan kehidupan sekarang,” jelasnya.
Sebelum ini, Zila yang terkenal dengan imej seksi dilaporkan semakin tenang menjalani kehidupan selepas mengambil keputusan mengenakan hijab pada 2020. – HIBGLAM