Jamal Jamaluddin pilu Man Karen Rusty Blade sudah tiada

PENYAMPAI radio Jamal Jamaluddin meluahkan rasa sedih apabila mendapat khabar pemain bes kumpulan Rusty Blade iaitu Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Man Karen meninggal dunia.

Jamal, 60, mendoakan agar roh Allahyarham Sulaiman ditempatkan bersama dalam kalangan orang beriman.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman.

“Takziah buat keluarga Man Karen. Semoga tabah mengharungi dugaan ini,” katanya dalam Facebook semalam.

Sulaiman dilaporkan meninggal dunia di Jurong, Singapura, pagi semalam dipercayai akibat kanser otak tahap empat.

Allahyarham sebelum ini pernah menjalani pembedahan melibatkan penyakit itu pada 2022.

Jenazah dikebumikan kira-kira pukul 2 petang hari yang sama.

Sulaiman menyertai kumpulan Rusty Blade pada 1988 bagi menggantikan pemain bes asal iaitu Razak.

Rusty Blade turut dianggotai Yantzen (penyanyi), Md Noor Hendrix (gitar) dan Zan (dram) yang merupakan antara kumpulan rock legenda di Malaysia dan Singapura. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok