‘Lebih baik saya diam, desas-desus ini akan reda’

ENGGAN menyimbah minyak terhadap spekulasi ‘orang ketiga’ sebagai punca pengunduran, bekas penyampai radio, Ili Ruzanna lebih selesa berdiam diri daripada memberikan maklum balas.

Ili, 32, berkata, tindakan sedemikian merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan hal menamatkan perkhidmatan di Hitz FM selepas hampir sedekad dijadikan isu besar.

“Seperti saya katakan, saya tak mahu mengiyakan atau menidakkan apa-apa. Bukanlah tak kisah tapi semua jadi perkara bersebab. Kadangkala kita rasa sesuatu itu kekal selamanya, tapi kena ingat Allah ada perancangan lain.

“Fasal spekulasi, ada orang suka bergosip untuk tahu cerita di sebalik sesuatu kejadian, apa pun saya yakin desas-desus seperti ini akan reda selepas beberapa hari.

“Jadi baik saya diam. Bak kata Ariana Grande, ‘Me and my truth, we sit in silence’. Saya akan bersama kebenaran dalam diam,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu baharu penyanyi Syasya Rizal, Different, baru-baru ini.

Pada masa sama, Ili menegaskan hubungannya dengan pengurusan serta bekas rakan penyampai lain masih baik dan tidak terjejas susulan keputusannya meninggalkan stesen radio berkenaan.

“Tiada masalah pun, semuanya okey sahaja. Kami masih kawan dalam industri. Kalau saya terserempak dengan mereka di mana-mana acara atau sebagainya — saya rasa seronok,” ujarnya.

Mengenai perancangan selepas meninggalkan dunia radio, katanya dia mahu meneroka pelbagai peluang baharu dalam arena seni dan kehidupan terutama lebih banyak menghasilkan single.

“Sudah hampir sembilan tahun saya bekerja dalam bidang radio, memang lama sangat. Saya juga mahu mengembara ke seluruh dunia dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Sebelum ini saya juga menyanyi. Ikut perancangan saya juga bakal melancarkan sebuah EP (album mini) mengandungi empat lagu, selain berkemungkinan mengadakan persembahan khas pada Oktober depan.

“EP ini cukup istimewa kerana tiga daripada lagu tersebut saya tulis sendiri, manakala sebuah lagi merupakan kolaborasi dan sarat kisah peribadi yang saya lalui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain pernah menghasilkan lagu seperti I Don’t MindThe Truth Hurts dan Sing To You, Ili turut pernah bekerjasama dengan penyanyi Aisyah Aziz menerusi lagu Pixels dan MFMF. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok