Yuna jual rempeyek demi kelangsungan hidup

SEDAR bukan lahir daripada keluarga berada (kaya), pelakon Yuna Rahim mengambil inisiatif memulakan perniagaan dengan menjual rempeyek, sejak kira-kira sebulan lalu.

Yuna atau nama lengkapnya Shafiqah Husna Abdul Rahim ketika ditemui HibGlam baru-baru ini berkata, dia mengambil keputusan untuk mula berniaga rempeyek secara kecil-kecilan bagi menjana pendapatan tambahan.

Saya terfikir untuk berniaga rempeyek selepas terfikir, kalau saya tidak mulakan daripada sekarang, bila lagi? Sebab saya bukan daripada keluarga yang senang,” kata Yuna.

Ujar pelakon berusia 27 tahun itu lagi, dia memilih untuk menjalankan perniagaan menjual rempeyek kerana sasaran jualannya adalah untuk orang-orang lama (tua) yang menggemari kerepek tradisional itu.

“Saya memilih untuk menjual rempeyek kerana orang-orang tua sukakannya. Saya tahu mereka yang akan menyokong perniagaan saya nanti,” ujar Yuna yang belajar resipi membuat rempeyek daripada seorang rakan.

Tambah wanita itu lagi, bapanya yang juga merupakan seorang cef banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar untuk dia mendalami dunia perniagaan.

Bapa saya sebenarnya seorang cef sejak berusia 18 tahun lagi sehingga sekarang. Jadi sedikit sebanyak saya belajar daripada dia. Misal kata suatu hari nanti saya nak buka perniagaan kafe, dia boleh membantu saya.

“Keluarga adalah tulang belakang yang sentiasa menyokong saya. Alhamdulillah, setakat ini perniagaan rempeyek saya berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Yuna yang ditemui ketika sidang media drama seram Mystic Village turut berkongsi rasa teruja apabila pertama kali berlakon dalam filem seram bersama aktor, Gambit Saifullah.

Berkongsi tentang cabaran, Yuna berkata dia terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Dengkil, setiap hari dengan perjalanan memakan masa selama lebih satu jam.

“Cabarannya tidaklah seteruk mana. Cuma kena berulang-alik dari rumah ke lokasi penggambaran yang agak jauh dengan memakan masa lebih satu jam setiap hari.

“Pelakon dan kru lain juga memberikan kerjasama yang baik. Saya teruja sebab berlakon bersama Gambit. Mula saya tidak boleh faham sangat dengan sifat dia.

“Tapi lama kelamaan, saya dapati Gambit seorang yang sangat periang, memahami dan pendengar yang baik. Jadi saya sangat gembira bekerja dengannya,” jelas Yuna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok