Surah Yasin selamatkan Ella di Pulau Pinang

Ratu rock negara, Ella mengakui insiden kehilangan suara sebelum Konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota di Pulau Pinang tempoh hari sebagai kejadian pertama yang dialaminya sepanjang empat dekad dalam industri muzik.

Katanya, situasi membimbangkan itu mengakibatkannya terpaksa menggunakan pelbagai usaha termasuk mengambil hormon penambah tenaga di bawah pemantauan pakar perubatan yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur.

Sehari sebelum konsert di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 28 Oktober suara saya hilang sepenuhnya sampai saya rasa tak boleh buat persembahan kerana bercakap pun macam keluar angin sahaja.

“Raptai penuh pun tak dapat dibuat. Ini kali pertama berdepan situasi begini sehingga pelbagai cara pasukan saya lakukan termasuk membaca Yasin, selain membawa doktor datang ke Pulau Pinang.

“Saya jadi takut, apatah lagi sejak awal sudah tahu 14,000 peminat sudah beli tiket termasuk  yang datang dari Medan dan Jakarta, Indonesia, Brunei serta Singapura.

Alhamdulillah, bantuan penambah hormon tenaga serta vitamin C bagi mengembalikan suara serta kecergasan akibat batuk dan impak  jerebu yang saya alami sejak beberapa hari sebelum itu berkesan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini. 

Pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 57, itu yang ditemui pada program Komuniti Global Hearing Care Centre (GHCC) mengakui kesihatannya kini semakin beransur pulih.

Ella selaku duta dengan sokongan  Kementerian Pendidikan Malaysia  membantu bagi menyemarakkan kempen peka terhadap kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan di setiap peringkat usia. 

Sementara itu, mengenai konsert anjuran Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen,  persembahan mega tersebut mengumpul 14,000 penonton yang datang dari dalam dan luar negara.

Susulan sambutan memberangsangkan, penganjur Hitman Solutions dan pasukannya memutuskan untuk mengadakan konsert seterusnya di Sabah tahun depan.

Saya terharu dengan sambutan hangat peminat utara serta yang sanggup ‘terbang’ dari negara jiran  sekali gus membuatkan kami sepakat untuk mengadakan konsert di Sabah pula yang dijangka pada suku tahun pertama 2024.

Menurut penyanyi Puteri Kota yang membawakan 37 lagu di Spice Arena itu, lebih menggandakan keterujaan apabila persembahan mega tersebut berjaya mengumpul RM30,000 untuk disumbangkan kepada tabung Palestin.

“Saya terharu dapat bersama penonton bantu rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan, begitupun juga dengan sokongan padu pasukan saya,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok