Bukan lumba lari, berhenti melaga-lagakan artis – Siti Nurhaliza

PERTELAGAHAN antara peminat tentang takhta penyanyi nombor satu negara mengheret semula kisah kontroversi lampau membabitkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan penghibur lain suatu ketika dulu.

Apabila peristiwa lalu menjadi bahan ungkitan, sudah pasti perkara tersebut mendatangkan rasa kurang selesa, apatah lagi bukan beliau yang sewenang-wenangnya meletakkan gelaran itu.

Baginya yang sudah hampir tiga dekad mengharungi sepak terajang industri seni, ada hal yang tidak perlu dibangkitkan atau diulas lagi demi kebaikan semua pihak.

“Saya sendiri tidak suka usik atau kecilkan hati sesiapa (atau) ingin imbau perkara yang tidak benar dan tidak wujud.

“Ada hal yang tak perlu pun kita sentuh dan ulas kerana natijahnya nanti akan lebih besar,” katanya ketika ditemui pada pelancaran produk BeauSiti, baru-baru ini.

Anak seni bersuara emas itu turut meluahkan rasa terkilan apabila segelintir individu dilihat suka melaga-lagakan artis hanya disebabkan gelaran nombor satu.

TIDAK pernah kemaruk kedudukan penyanyi nombor satu, sebaliknya Siti sudah cukup gembira dapat menghiburkan orang ramai.

Tambah pelantun lagu Biarlah Rahsia itu, setiap anak seni sedikit pun tidak peduli terhadap sebarang kedudukan yang direbutkan peminat.

“Artis semua relaks sahaja buat kerja masing-masing. Janganlah mencetuskan sesuatu isu yang tidak wajar.

“Kami penat nak berikan yang terbaik untuk anda semua. Jadi janganlah sibuk nak melaga-lagakan sesiapa.

“Dunia sekarang sudah cukup tertekan, jangan tambah tekanan itu lagi. Berdamailah, cantikkan industri seni kita dengan perkara yang baik-baik.

“Bukan kita hidup lama pun, esok lusa mungkin sudah tiada,” ungkap figura berusia 44 tahun itu meluahkan isi hati.

Nombor bukan ukuran

Siti juga sekali lagi menegaskan sepanjang karier dia tidak pernah kemaruk kedudukan penyanyi nombor satu, sebaliknya sudah cukup gembira dapat menghiburkan orang ramai.

“Nombor semua itu bukan ukuran kerana saya bukan masuk pertandingan lumba lari. Tak pernah terfikir pun sejak awal berada industri seni nak jadi nombor satu.

“Saya cuma berkongsi bakat yang dianugerahkan dengan menggembirakan orang dan menghiburkan peminat. Itu pun sudah bagi saya satu kepuasan.

“Tak pernah minta nombor berapa. Harap peminat saya pun jangan sentuh isu ini. Kita patut hargai sesama artis, harmonikan industri seni kita dengan kejayaan yang baik-baik,” luahnya.

Siti berkata demikian mengulas isu dicetuskan beberapa kelompok peminat tegar penyanyi wanita yang kemudian membawa kepada polemik dalam aplikasi X.

Peristiwa lalu yang pernah terkait dengan penghibur kesayangan ramai itu dikorek semula kononnya mahu membuktikan perang dinginnya dengan artis lain ketika mula bertapak di arena hiburan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok